Polis berjaya menumpaskan kegiatan samun lima sekawan yang dipercayai bergiat aktif melakukan kegiatan jenayah mereka di sekitar daerah ini, Mersing dan Rompin Pahang.
Kluang: Polis menumpaskan kegiatan samun didalangi Geng Triton yang dipercayai aktif melakukan jenayah di sekitar daerah ini, Mersing dan Rompin Pahang susulan tangkapan empat ahlinya Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek termasuk bekas suami isteri berusia lingkungan 24 hingga 38 tahun itu ditahan susulan empat serbuan di Taman Wawasan dan Kampung Sri Lumpur, Mersing dalam operasi bermula 10 pagi hingga 3 petang.
Katanya, semua suspek positif dadah Methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing yang dilakukan dan dipercayai aktif melakukan kegiatan jenayah itu sejak Ogos lalu.
"Modus operandi Geng Triton ini adalah menyewa pacuan empat roda milik persendirian di Johor Bahru dan menggunakannya untuk mencari sasaran premis kediaman dan perniagaan.
"Kumpulan penjenayah itu melakukan samun termasuk menggunakan senjata. Bagaimanapun tiada mangsa dicederakan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini, hari ini.
Bahrin berkata, polis juga menemui semula hasil samun termasuk gelang emas dan sebuah Proton Gen-2 dengan anggaran nilai keseluruhan kira-kira RM25,000.
Katanya, pihaknya memburu seorang lagi ahli kumpulan dikenali sebagai M Munisiran, 32, yang memiliki alamat terakhir di No 24 Jalan Jati Taman Sri Plentong, Masai Johor.
Beliau berkata, polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes samun iaitu lima di Kluang serta masing-masing satu di Mersing dan Rompin, Pahang.
"Suspek direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
|