|
Kesan tapak kaki harimau yang ditemui di Kampung Ayong, Pos Pasik, di sini. FOTO / Ihsan Penduduk
Gua Musang: Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Bihai dan Pos Pasik hidup dalam kebimbangan berikutan kemunculan harimau belang di perkampungan mereka.
Dalam kejadian terbaharu di Kampung Tandrik, Pos Bihai, kira-kira 4 pagi Ahad lalu, binatang buas itu dipercayai menyerang seekor anjing sehingga mati berhampiran rumah penduduk.
Penduduk, Apek Asud, 39, berkata sebelum kejadian, dia terdengar bunyi anjing menyalak di tepi rumahnya, namun tidak berani untuk keluar bagi melihat apa yang berlaku.
"Ketika dengar anjing menyalak kira-kira 4 pagi, saya tidak berani untuk keluar melihat. Walaupun seekor (harimau) sudah ditangkap sebelum ini, namun masih ada dua ekor lagi yang berkeliaran di pos ini.
"Keesokkan paginya saya nampak ada bangkai anjing dengan kesan kuku harimau pada badan anjing terbabit berhampiran rumah.
"Hampir setiap malam kami mendengar salakan anjing yang mungkin memberi amaran kemunculan binatang buas. Tetapi banyak juga anjing mati kerana serangan haiwan liar ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli, Mohd Sani Nahtiman berkata, penduduk Pos Pasik juga bimbang kerana harimau belang yang menyerang penduduk pada awal bulan lalu belum ditangkap.
Menurutnya, penduduk percaya haiwan liar itu masih berkeliaran di beberapa kampung di pos terbabit.
"Terbaru pada Jumaat lalu, seorang penduduk dari Kampung Ayong menjumpai kesan tapak kaki harimau ketika ingin ke sungai. Keesokkan harinya saya bersama penduduk pergi ke tempat terbabit dan lihat ada kesan tapak kaki harimau.
"Jadi saya meminta penduduk sentiasa berwaspada serta bergerak secara berkumpulan jika ingin ke mana-mana.
"Penduduk berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," katanya.
Pada awal bulan lalu, media melaporkan seorang pemuda Orang Asli suku kaum Temiar dari Kampung Sugi, Pos Pasik maut dipercayai dibaham harimau ketika keluar menyumpit.
Mayat Pisie Amud, 25, ditemukan penduduk kampung dengan cakaran haiwan liar itu di kepala dan badan selain sebelah kaki kirinya sudah hilang.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... g-kehadiran-harimau |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|