|
Banyak kerosakan siling dan karpet Masjid Al-Muktafi Billah Shah (MAMBS) di sini. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Kuala Terengganu: Masjid Al-Muktafi Billah Shah (MAMBS), di sini, memerlukan dana sebanyak RM2 juta bagi membaiki kerosakan bumbung yang semakin teruk selain menukar karpet demi keselesaan jemaah.
Kerosakan bumbung terhadap masjid berusia 39 tahun berkenaan sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu hingga menyebabkan berlaku kebocoran setiap kali hujan.
Lebih membahayakan apabila empat kejadian siling runtuh berlaku di ruangan solat dengan kali terakhir pada hujung tahun lalu.
Pengurus Eksekutif MAMBS, Amir Sabri Abd Ghani berkata, banyak kerosakan siling dikesan terutama di ruang solat utama, bilik mesyuarat dan bilik kuliah.
Menurutnya, berikutan itu pihaknya bimbang sekiranya tiada tindakan segera dibuat akan membahayakan jemaah yang datang menunaikan solat di masjid itu.
"Kita bernasib baik ketika kejadian siling runtuh berlaku sebelum ini tiada jemaah yang berada dalam masjid.
"Malah, pihak masjid juga mengambil tindakan membaik pulih dengan menampung kerosakan siling yang menelan belanja lebih RM60,000 membabitkan empat kejadian runtuhan sebelum ini.
"Kos penyelenggaraan dilakukan ini juga hasil daripada kutipan dana yang dibuat setiap hari dan solat Jumaat," katanya ketika ditemui, semalam.
Amir Sabri berkata, pihaknya cuba mendapatkan peruntukan daripada agensi berkaitan, selain membuat kutipan dana menerusi tabung infak sejak Julai lalu bagi menampung kos baik pulih kerosakan di masjid itu.
"Setakat ini kita berjaya mengumpul lebih RM50,000 hasil sumbangan orang ramai dan kita akan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan apabila dana mencukupi.
"Kita bimbang apabila hampir memasuki musim tengkujuh kerana setiap kali hujan akan menyebakan kebocoran hingga merosakkan karpet," katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghulurkan sumbangan ke Tabung Infak Dana Penyelenggaraan MAMBS menerusi akaun Bank Islam bernombor 13053010010815.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ana-baiki-kerosakan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|