|
KEADAAN kedai makan dan kedai runcit yang berselerak selepas seorang lelaki membuat kacau di Kampung Pangkal Kalong, Ketereh. FOTO ihsan pembaca
Kota Bharu: Seorang pekerja kedai runcit berdepan detik cemas apabila seorang lelaki membuat kacau hampir satu jam di Kampung Pangkal Kalong, Ketereh.
Dalam kejadian jam 8.10 malam Isnin lalu, Siti Fazilah Zainudin, 25, berkata, dia ketika itu berada di dapur yang menempatkan kedai makan dan kedai runcit majikannya, Hani Yazid,53.
Siti Fazilah berkata, dia terdengar bunyi bising sebelum melihat ke luar kedai dan mendapati seorang lelaki berusia 20-an mundar-mandir sambil menendang kerusi meja di kedai.
"Dia tak serang orang cuma sangat agresif, orang kampung nak tangkap pun tak berani.
"Bila lihat dia makin agresif, anak majikan bertindak menutup pintu kedai dan saya serta beberapa orang termasuk pelanggan berkurung dalam rumah sebab ketakutan," katanya ketika ditemui di kedai berkenaan, di sini, hari ini.
Siti Fazilah berkata, keadaan huru-hara berlangsung hampir satu jam dan lelaki itu turut bertindak merosakkan motosikal yang diletakkan berhampiran kedai selain memijak roti di rak kedai.
Katanya, lelaki itu turut menanggalkan baju lengan pendek dan seluar yang dipakai sebelum melarikan diri namun ditangkap polis kira-kira 500 meter dari kedai itu.
Hani pula berkata, ketika kejadian dia berada di Bachok sebelum menerima panggilan daripada anaknya yang memaklumkan kejadian.
Katanya, menurut anaknya, terdapat pisau lipat yang turut ditemui penduduk kampung ketika lelaki itu melarikan diri.
"Kami kenal dia, kami pun tidak tahu apa yang berlaku kepadanya sebab sebelum ini, dia baik saja, malah pernah upah dia potong rumput," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kes membabitkan orang kurang siuman yang didapati mengganggu kawasan kedai di Pangkal Kalong, Ketereh.
"Suspek sudah diserahkan kepada pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk tindakan lanjut," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... eja-habis-ditendang |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|