View: 1852|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Tiada pelajar keracunan seperti didakwa
[Copy link]
|
|
LAPORAN Harian Metro semalam.
Kuala Lumpur: Prestasi kebersihan persekitaran dan proses pengendalian makanan Dewan Selera di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan, adalah baik.
Ia susulan tular kes membabitkan beberapa pelajar didakwa keracunan makanan.
Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu.
"Tindakan segera sudah diambil oleh pihak pengurusan MRSM dengan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi menjalankan siasatan segera ke atas Dewan Selera berkenaan.
"Pemeriksaan rapi oleh PKD sudah dijalankan dan prestasi kebersihan persekitaran adalah baik serta proses pengendalian makanan adalah mematuhi standard yang ditetapkan.
"Lanjutan daripada pemerhatian itu, PKD dan pihak pengurusan MRSM sudah memberi beberapa teguran ke atas pengusaha Dewan Selera," katanya dalam kenyataan itu.
Menerusi kenyataan sama, pemantauan ke atas pelajar juga sudah dilaksanakan.
"Setakat ini tiada pelajar terbabit dengan gejala keracunan makanan seperti yang didakwa. Mara sentiasa memberikan keutamaan dalam memastikan perkhidmatan yang dibekalkan oleh pembekal makanan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam penyediaan makanan bermasak untuk pelajar.
"Sehubungan itu, Mara meminta agar ibu bapa tidak perlu bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Mara sentiasa prihatin dengan kebajikan dan keselamatan seluruh pelajar di Institusi Pendidikan Mara (IPMA) termasuk MRSM dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perkara seumpama itu berlaku mengikut prosedur yang sudah ditetapkan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... nan-seperti-didakwa |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|