|
Saharuddin (dua dari kanan) memantau harga ayam segar yang dijual di sebuah pasaraya, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Kuala Terengganu: Peniaga ayam diberi amaran supaya tidak sesuka hati menaikkan harga sehingga tidak munasabah susulan penamatan subsidi dan kawalan harga ke atas bekalan berkenaan, hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, peniaga tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana pemantauan secara berterusan akan dilakukan.
Menurutnya, seramai 117 pegawai penguat kuasa dan 58 pegawai pemantau harga akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada kenaikan harga ayam mendadak.
"Meskipun harga ayam kini ditentukan oleh pasaran, ia bukan bermakna peniaga boleh sesuka hati menaikkan harga.
"Malah, kita memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi ini dan akan memastikan barangan keperluan pengguna seperti ayam dijual pada harga munasabah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di sebuah pasar raya, di sini, bagi melihat situasi semasa selepas penamatan subsidi kawalan harga ayam berkuat kuasa hari ini.
Menurutnya, peniaga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 jika gagal mematuhi arahan.
Katanya, pada masa sama pengguna juga perlu bijak dengan membuat perbandingan harga terlebih dahulu sebelum berbelanja.
"Terpulang kepada pengguna itu sendiri memilih membeli ayam dengan harga murah atau mahal," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... pada-harga-melampau |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|