|
KEADAAN lori dan motosikal yang terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Parit Putat, Sungai Rambai hari ini. FOTO Ihsan Polis
Jasin: Pelajar Tingkatan 3 yang parah akibat dirempuh lori di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Parit Putat, Sungai Rambai di sini, menghembuskan nafas terakhir tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa, Muhammad Iqram Rosli, 15, yang dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar selepas kemalangan kelmarin, disahkan meninggal dunia jam 1 tengah hari.
Menurutnya, satu laporan dibuat waris keluarga mangsa pada jam 2.10 petang berhubung kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai.
"Bedah siasat tidak dijalankan memandangkan sebab kematian sudah dikeluarkan oleh pihak doktor yang merawat mangsa.
"Sebab kematian mangsa adalah kecederaan organ dalaman," katanya sambil memaklumkan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, difahamkan jenazah mangsa disembahyangkan di Masjid Parit Penghulu sebelum dikebumikan di Pusara Penghulu Benteng, di sini.
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 2.50 petang, mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dari pekan Sungai Rambai keluar dari simpang lampu isyarat secara tiba-tiba hingga dirempuh sebuah lori yang dalam perjalanan dari arah Muar menghala ke Jasin.
Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami patah tangan dan cedera parah di badan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... unia-ketika-dirawat |
|