|
AHMAD Irham hanya sempat mengutip 130kg timun disebabkan kebun banjir di Kampung Sri Tanjung, Dengkil. FOTO Ihsan Pembaca.
Dengkil: "Ini kali ketiga kebun yang saya usahakan tenggelam banjir. Memang sedih," kata Ahmad Irham Mohd Noor, 42, yang mengusahakan tanaman timun.
Kebun Ahmad Irham yang disewa di Kampung Sri Tanjung di sini, tenggelam susulan hujan lebat berterusan sejak Sabtu selain limpahan air Sungai Langat.
Menurutnya, air mula melimpah memasuki ke kawasan kebunnya kira-kira 3 petang, Ahad lalu ketika dia sedang mengutip hasil timun.
"Ini kali pertama saya nak merasa hasil tanaman timun selepas beralih daripada mengusahakan tanaman cili sebelum ini.
"Ahad pagi itu saya petik, dapatlah dalam 15 kilogram (kg). Petangnya air semakin naik dan kemudian banjir, dianggarkan tiga kaki (0.9144 meter).
"Penghujung 2021 dan 2022, kebun cili fertigasi yang saya usahakan di tapak sama turut ditenggelami banjir mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit.
"Saya reda, namun sangat sedih kena banjir lagi," katanya.
Menurutnya, dia beralih daripada cili kepada timun kerana tempoh matang untuk mengutip hasil lebih pendek dan penjagaannya yang lebih mudah.
Ahmad Irham berkata, ketika pertama kali mengutip hasil pada Ahad lalu, dia sangat teruja kerana buahnya besar dan jangka mampu mengutip hasil berjumlah lima tan.
Bagaimanapun harapan itu musnah, namun Ahmad tidak akan berputus asa sebaliknya mahu membersihkan kebunnya dan menanam benih timun baharu selepas banjir surut.
"Hasil kutip timun pada Isnin dapat kira-kira 70kg dan semalam dapat 60 kg lagi.
"Selepas jual ke kedai, pihak kedai hubungi semula dan mengadu buah rosak. Saya kata tak apa, nanti saya ganti duit tetapi pekedai tak nak dan tunggu hasil timun akan datang.
"Sebab itu saya cadang dalam dua tiga hari ini nak bersihkan semula kebun dan tanam benih baharu walaupun sebenarnya tak tahan melihat pokok timun yang layu," katanya yang memaklumkan baru memperoleh kira-kira RM200 hasil jualan timun.
Menurutnya, dia juga belum menerima bantuan mana-mana pihak susulan kejadian terbaharu namun pihak Jabatan Pertanian Sepang sudah meminta maklumat kejadian.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... iga-kebun-tenggelam |
|