|
KENDERAAN dinaiki ahli keluarga Muhammad Zulfahmi yang terbalik di Muadzam Shah, Pahang ketika dalam perjalanan menghadiri majlis konvokesyennya di UniSZA. FOTO Ihsan Muhammad Zulfahmi Sulkifli
Kuala Nerus: Hasrat seorang graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meraihkan majlis konvokesyen bersama ahli keluarga tidak kesampaian apabila mereka terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan ke Terengganu, semalam.
Graduan Diploma Rekabentuk Perindustrian, Muhammad Zulfahmi Sulkifli, 20, berkata, kemalangan berlaku di Muadzam Shah, Pahang menyebabkan van dipandu bapanya terbalik.
Namun, keluarga itu bernasib baik kerana semuanya terselamat, kecuali nenek Muhammad Zulfahmi yang cedera di tulang rusuk dan patah bahu.
"Sepatutnya saya meraikan hari gembira hari ini bersama-sama dengan keluarga, namun apakan daya.
"Walaupun sedih kerana menerima skrol diploma tanpa kehadiran orang tersayang, tetapi saya reda ini adalah ujian yang perlu saya tempuh.
"Bagaimanapun, saya bersyukur semua ahli keluarga selamat dan menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini
Anak sulung dari tiga beradik itu berkata, dia yang melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Rekabentuk Perindustrian hanya meraikan hari gembira bersama-sama rakan lain.
"Mujur rakan-rakan termasuk pensyarah memberi kata-kata semangat," katanya sambil berkata ahli keluarganya turut merancang bercuti di Terengganu selepas meraikan kejayaannya.
Muhammad Zulfahmi berkata, dia bercadang pulang ke Seremban dalam masa terdekat untuk melawat dan melihat sendiri keadaan ahli keluarga terutama nenek yang masih dirawat di hospital.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... sza-rai-konvokesyen |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|