|
SUASANA gerai The 3 Ringgit di MITC, Ayer Keroh, Melaka yang dipenuhi pelanggan pada waktu puncak. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
MELAKA: Sebuah gerai di Ayer Keroh di sini menampilkan kelainan apabila menjual hampir 50 menu makanan, minuman dan pencuci mulut pada harga RM3.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, pemilik gerai The 3 Ringgit, Mohd. Jammry Abd. Majid, 36, berkata, dia bersama isteri, Ain Atiqah Rohimi, 33, memulakan perniagaan itu sejak dua bulan lalu selepas melihat ramai yang terkesan dengan peningkatan harga barang termasuk makanan.
Katanya, The 3 Ringgit menawarkan pelbagai menu seperti masakan barat, sushi, pasta, kuih tradisional, minuman serta pencuci mulut pada harga RM3 dan mampu dibeli oleh semua golongan.
“Antara juadah yang terdapat di gerai ini adalah bebola daging, pasta, sushi, nasi ayam, tauhu bergedel, karipap, air teh, bandung, kek cawan dan puding. Kami sesuaikan bahagian setiap masakan agar pelanggan berasa berbaloi dengan duit yang mereka bayar.
“Alhamdulillah, setakat ini, sambutan sangat menggalakkan sehingga pelanggan sanggup berbaris panjang untuk membeli juadah. Hampir semua menu akan habis dijual dalam tempoh beberapa jam sahaja.
“Buat masa ini, kami berniaga setiap Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad di lokasi yang berbeza iaitu di MITC Ayer Keroh, Bukit Serindit, Pantai Puteri dan Pantai Siring,” katanya.
Tambah Mohd. Jammry, ramai yang bertanya kepadanya sama ada dia mendapat keuntungan dengan menjual makanan pada harga RM3.
Jelasnya, keuntungan masih ada, tetapi, perlu menjual dalam kuantiti yang banyak kerana margin untung setiap menu adalah berbeza.
“Lain menu lain bahan yang digunakan, sedangkan harga tidak berubah. Sebab itu saya perlu pastikan kami mencapai sasaran jualan yang ditetapkan.
“Selain itu, kawalan kos bahan mentah yang baik juga penting dalam memastikan harga jualan tetap kompetitif dan realisitik,” ujarnya. -UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... adi-pilihan-rakyat/ |
|