|
GAMBAR kenangan Muzaffar dan arwah adik bongsunya, Marfuza Arnida yang maut dalam kemalangan. FOTO Ihsan keluarga.
Alor Gajah: "Lepas ni tak ada lagi adik yang suka minta aku belanja wayang, tak ada lagi seorang adik yang suka minta aku belanja makan, tak ada lagi seorang adik yang akan bising bila rumah bersepah"
Itu luahan pilu Muzaffar Marrudzuki, 28, di Facebook mengenai adiknya, Marfuza Arnida, 23, yang maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), semalam.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka (HM) jam 7.30 malam.
Lebih menyedihkan, anak bongsu dari lima beradik yang juga graduan Kursus Bioperubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan itu sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen di USM Pulau Pinang, pada 25 November ini.
Muzaffar yang membahasakan dirinya 'Achik' berkata, biarpun dibesarkan tanpa kasih sayang seorang ayah, adiknya tidak pernah meluahkan kesedihannya sepanjang 19 tahun kehilangan orang tersayang.
"Achik tahu kau penat, rehatlah adik. Maaf sebab achik tak mampu menjadi abang yang baik untuk kau," katanya.
Sementara itu, Muzaffar ketika dihubungi berkata, jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu, selepas solat Jumaat hari ini.
"Arwah baru tiga bulan bekerja di sebuah restoran makanan segera dan berulang-alik menaiki motosikal dari rumah di Sungai Udang ke MITC.
"Kami sekeluarga amat terkejut dan bersedih dengan pemergiannya, namun reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan ke tempat kerja di Ayer Keroh.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa tiba-tiba melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 24 tahun ketika lampu isyarat bertukar hijau.
"Akibatnya mangsa mengalami pendarahan di perut dan dikejarkan ke HM, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam ketika sedang menerima rawatan," katanya.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu Myvi berkenaan positif ganja dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... penat-rehatlah-adik |
|