|
Foto hiasan
GUA MUSANG: Kira-kira 30 pemilik kebun sawit dan getah di kawasan Meranto di sini, kini takut untuk ke kebun mereka susulan kejadian dua serangan harimau belang di kawasan itu sejak pagi kelmarin.
Penduduk, Zulkiflie Sulaman, 39, berkata kejadian serangan haiwan itu berlaku di kawasan kebun penduduk kampung berkenaan.
"Penduduk kini berada dalam ketakutan untuk ke kebun sawit dan getah milik mereka akibat kejadian serangan harimau yang berlaku secara berturut-turut itu.
"Jarak antara kejadian pertama dan kedua hanya 10 kilometer dan kami rasa ia adalah harimau belang yang sama menyerang mangsa. Kami harap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi hari ini.
Seorang lagi pemilik kebun, Mohamad Roziman Shafli, 38, bekata sebelum ini penduduk di situ hanya berhadapan dengan ganguan harimau kumbang yang bertindak mengganggu lembu penduduk.
"Kini kami berhadapan pula dengan kejadian serangan 'pak belang' terhadap manusia, sebelum ini sudah banyak lembu kami yang mati menjadi mangsa harimau kumbang.
"Saya harap pihak berkuasa dapat segera menangkap harimau itu yang kini menjadi ancaman kepada kami pemilik kebun.
"Sekarang hendak keluar menoreh getah pun takut, sedangkan itu adalah sumber pendapatan kami penduduk di sini," katanya.
Terdahulu, media melaporkan lelaki warga Myanmar maut selepas diserang harimau belang ketika menoreh getah di Ladang Meranto, tengah hari semalam.
Mangsa, Ahka Soe Ya, 22, dikatakan bersama isterinya sedang menoreh getah di ladang berkenaan sebelum didatangi haiwan itu.
Terdahulu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan masih menyiasat di lokasi kejadian berhubung seorang warga Indonesia ditemui maut di Hutan Simpan, Jalan Sri Bintang, Kampung Meranto, di sini, dipercayai dibaham harimau belang.
https://www.bharian.com.my/berit ... diserang-pak-belang |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|