|
Seekor harimau belang memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan di Pos Pasik, Gua Musang pada Isnin lalu. FOTO IHSAN PERHILITAN
KOTA BHARU – Musim mengawan, mengajar anak berburu dan keluar dari kawasan rayau merupakan tiga punca utama harimau mengganas termasuk menyerang manusia sehingga menyebabkan kematian.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, maklumat itu berpandukan laporan yang diterima daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Kita perlu lihat ketiga-tiga faktor itu. Selain itu, pembukaan hutan juga mungkin menjadi salah satu faktornya, tetapi ia merupakan proses biasa bagi kerajaan negeri.
“Kita sudah ambil kira semua faktor termasuk alam sekitar dan mengikut peraturan. Cadangan ubah suai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) pula masih dalam kajian dan tidak bermaksud kita mahu batalkan semua yang mengganggu sumber ekologi,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, Perhilitan turut melaporkan bahawa seekor daripada harimau yang mengganas di Hulu Kelantan berjaya ditangkap.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan warga Indonesia, Lalu Sukarya Yahya, 42, maut dalam keadaan mengerikan selepas dibaham harimau di kawasan kebun getah Kuala Wak, Pos Pasik, Gua Musang.
Lelaki warga Myanmar, Ah Ka Soe Ya, 22, pula menjadi mangsa kedua dalam tempoh kurang 48 jam apabila mayatnya ditemui di ladang Kampung Meranto, Gua Musang pada 11 November lalu.
Pada 3 Oktober lalu, lelaki Orang Asli, Pisie Amud, 25, ditemui mati selepas keluar menyumpit seorang diri di kawasan ladang kelapa sawit Pos Pasik, Gua Musang. Terdapat kesan cakaran harimau pada kepala dan badan mangsa.
Pada 12 Mei lalu pula, mayat lelaki Orang Asli, Halim Asin, 27, ditemukan terlungkup di Kuala Sungai Tunggul, Gua Musang. Hasil bedah siasat, mangsa disahkan maut akibat serangan pak belang. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/11 ... -harimau-mengganas/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|