View: 3434|Reply: 0
|
[Perak]
50 pesawah mengeluh tiada air, sukar usahakan tanam padi
[Copy link]
|
|
Mohd Nazri terpaksa menyambung paip air untuk disalurkan kepada lot sawah padinya di Kampung Tok Ngah. - Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
PARIT BUNTAR: Palong ada, tapi air tiada. Demikian nasib lebih 50 pesawah di unit Kampung Tok Ngah, Kuala Kurau, di sini yang berputus asa mengusahakan sawah padi seluas lebih 32.374 hektar kerana masalah ketiadaan air.
Lebih malang perkara itu berlarutan lebih 15 tahun dan majoriti pesawah hanya bergantung pada air hujan serta sebuah pam dari pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dibekalkan setiap musim penanaman padi.
Pesawah, Mohd Nazri Ismail, 34, berkata setiap kali bermula musim penanaman padi, pesawah sentiasa gelisah memikirkan masalah itu dan ada terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk mengepam air ke lot sawah yang diusahakan mereka.
"Berpuluh-puluh tahun sudah masalah ini dan agensi berkaitan sudah sedia maklum perkara ni namun tidak ada tindakan.
"Kami pun tak tahu sampai bila kami nak usahakan sawah padi di sini, sudah la air tiada, hasil pun tak tentu.
"Tempat lain boleh tuai sampai lapan tan metrik sehektar, kami di sini nak dapat tiga tan sehektar pun tak tentu, itu tak kira penyakit-penyakit lain lagi," katanya ditemui media selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus serta wakil dari Jabatan Pertanian, JPS dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian.
Hadir sama, Jurutera Projek IADA Kerian, Taquddin Azmy Zawawi.
Mohd Nazri berkata, pesawah di situ amat mengharapkan sebuah pam kekal dapat dibina bagi memastikan air sentiasa dapat disalurkan ke lot sawah.
"Sudah lama kami mengharap, surat pun banyak kali dihantar, mesyuarat di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) pun dah dibangkitkan berkali-kali, namun hampa.
"Kami tak tahu sampai bila boleh bertahan, tiap-tiap musim tanam padi tapi rugi," katanya yang mengusahakan 2.83 hektar sawah padi.
Seorang lagi pesawah, Rizalman Sarnudi, 63, berkata ada beberapa wakil dari syarikat swasta beberapa kali datang dan menawarkan sejumlah harga untuk sawah padi di situ untuk dijadikan kawasan perumahan.
"Setakat ini kami tak jual lagi dan boleh bertahan, tapi tak tahu sampai bila.
"Kalau tak jual tanah sekali pun, kami nak ubah ke tanaman kelapa sawit sahaja, lebih senang dan menguntungkan," katanya.
Sementara itu, Taquddin berkata, pihaknya akan membekalkan sebuah pam di kawasan itu dalam masa terdekat bagi membolehkan air dapat disalurkan segera.
"Kita juga sedang merancang bagi menyelenggara dan menaik taraf kawasan berkenaan namun bergantung pada kelulusan yang akan diterima," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... usahakan-tanam-padi |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|