View: 5354|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
'Itu video lamalah'
[Copy link]
|
|
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Kuala Lumpur: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menegaskan rakaman yang tular berkaitan isu kandang khinzir bersebelahan dengan kolam ternakan ikan patin itu adalah video lama yang sengaja dimainkan semula individu tidak bertanggungjawab.
DOF memaklumkan, ikan akuakultur oleh penternak yang berdaftar di bawah jabatannya itu adalah halal dan berkualiti.
Ini kerana, bahagian biosekuriti jabatannya sentiasa mengadakan lawatan serta menjalankan ujian porcine (pemantauan DNA khinzir) bagi memastikan hasil ikan juga sumber makanan ternakan di bawah penternak itu adalah terjamin bersih, halal serta menepati piawaian keselamatan makanan negara.
"Penularan video lama serta berita tidak sahih seperti ini adalah tidak wajar berlaku. Pengguna media sosial dinasihatkan supaya tidak berkongsi sewenang-wenangnya apa juga video yang tidak disahkan kandungan kebenarannya.
"Ini kerana tindakan berkenaan boleh membawa kepada penyebaran maklumat yang salah, mendatangkan kegusaran serta mengelirukan orang ramai seterusnya boleh mencemarkan reputasi sesebuah organisasi.
"Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, "katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai jumlah pengeluaran ikan patin di negara ini, DOF memaklumkan Pahang mencatatkan nilai tertinggi iaitu sebanyak 10,359.88 tan metrik diikuti Perak sejumlah 4,853.70 tan metrik serta Kelantan 2,309.15 tan metrik.
Katanya, pengkelasan pengeluaran ikan patin adalah berdasarkan tujuh jenis sistem ternakan iaitu ternakan kolam air tawar sebanyak 5,929 metrik tan, bekas lombong (3,172 metrik tan), sangkar air tawar (11,057 metrik tan), tangki simen atau fiber (73.36 metrik tan), tangki kanvas (0.10 metrik tan), kandang ikan (617.91 metrik tan) serta estet (12.10 metrik tan).
Sementara itu, bagi mengelakkan pengguna sangsi dengan produk yang dikeluarkan, DOF turut menggalakkan penternak untuk menyertai Skim Pensijilan MyGAP supaya barangan yang dihasilkan berkualiti, selamat dimakan serta aktiviti akuakultur yang dijalankan tidak mendatangkan kerosakan kepada ekosistem semula jadi negara.
Katanya, penternak yang berdaftar di bawah DOF juga tertakluk kepada Peraturan Perikanan, Kaedah-Kaedah Perikanan setiap negeri yang menyatakan semua premis akuakultur akan di lesenkan serta aktiviti ternakan mereka akan dikawal rapi supaya mematuhi piawaian dan garis panduan Amalan Akuakultur Baik.
"Pegawai dari Pejabat Perikanan Negeri (PPN) dan Daerah (PPD) juga sentiasa mengadakan lawatan ke tapak projek ternakan secara berkala bagi memantau dan memberikan khidmat nasihat teknikal berterusan mengenai kaedah penternakan Amalan Akuakultur Baik kepada penternak," katanya,
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... 3/itu-video-lamalah |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|