|
Menteri Besar Kelantan Datuk Nassuruddin Daud (empat kanan) bergambar bersama Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
KOTA BHARU: Sebanyak 160 pangkalan hadapan di seluruh negeri akan diaktifkan sebagai persediaan menghadapi Monsun timur laut (MTL) yang berlaku bermula pada November hingga Mac tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Negeri Kelantan, Rohani Ibrahim, berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Jajahan serta semua peringkat bilik operasi dan agensi menyelamat masing-masing sudah bermesyuarat bagi memperkemaskan gerak kerja persiapan untuk menghadapi banjir pada tahun ini.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah menyediakan sebuah Depot Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) serta 16 buah stor bencana negeri dan daerah termasuk mini depot serta kontena.
"Selain itu, sebanyak 70 pembekal barangan keperluan bencana serta 108 pembekal pek makanan siap masak juga sudah dilantik bagi semua jajahan.
"Sebanyak 456 pusat pemindahan sementara (PPS) juga sudah dikenal pasti dan akan dibuka dengan kapasiti 191,169 orang sekiranya berlaku bencana banjir.
"Pada masa ini kerja-kerja pembaikian di 119 PPS sedang giat dilaksanakan dan dijadualkan siap sebelum akhir November ini dengan anggaran kos sebanyak RM2.5 juta yang disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pakar Penasihat Wanita Kelantan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nassuruddin Daud di sebuah hotel di Kota Bharu, di sini, hari ini.
Rohani berkata, seramai 7,147 penyelamat akan ditugaskan membantu mangsa banjir termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
"Selain itu, sebanyak 19,537 pelbagai aset seperti kenderaan, jentera, bot, khemah, genset dan peralatan-peralatan lain juga bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memberitahu program dan latihan kesiapsiagaan bencana juga sudah diadakan oleh pelbagai agensi.
Katanya, kerajaan negeri membangunkan Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan (e-Bencana) dengan menaiktaraf sistem e-Banjir yang secara rasminya dilancarkan pada 7 Februari lalu.
https://www.bharian.com.my/berit ... r-di-seluruh-negeri |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|