View: 6050|Reply: 0
|
Mazda 2 facelift 2024 dilancar di Malaysia
[Copy link]
|
|
Selepas muncul di Jepun pada Januari lalu dan tiba di Thailand pada Jun lalu, kini versi facelift terbaharu untuk Mazda 2 sudahpun dilancarkan oleh Bermaz Motor secara rasmi di Malaysia. Ini merupakan facelift kali kedua yang diberikan pada model yang muncul pada 2014 tersebut, dan ia menerima perubahan penggayaan dan juga tingkat taraf pelbagai perincian.
Mazda 2 facelift 2024 pasaran Malaysia ini masih diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand dan masih ditawarkan dalam versi hatchback dan sedan. Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM108,670, atau RM5,000 lebih mahal berbanding model sebelum ini.
Pada sebelah luar, perubahan paling ketara adalah pada bahagian muka di mana Mazda 2 2023 ini menerima gril baharu dengan elemen sarang lebah dan diberikan kemasan hitam berkilat pada bingkai tanpa krom, serta gril bawah yang lebih besar dari model sebelumnya. Model pasaran Malaysia ini tidak menerima pilihan gril dengan penutup liang udara besar menjadikannya kelihatan seakan sebuah kereta EV seperti yang ditawarkan di Jepun.
Manakala di belakang, rupa keseluruhannya masih nampak sama seperti versi sebelum ini, tetapi diberikan rekaan bampar yang sedikit berbeza. Mazda turut memberikan serlahan bar merah yang kecil pada gril hadapan dan juga di atas tip ekzos krom pada bampar belakang pada Mazda 2 facelift ini.
Perincian baharu lain yang turut dapat dilihat adalah rekaan rim aloi 16-inci yang lebih segar dalam kemasan dua tona (hitam dan krom), lampu hadapan LED yang kini menerima fungsi automatik on/off, pengelap cermin dengan penderia hujan dan juga cermin sisi auto-lipat.
Hatchback dan sedan segmen-B ini masih menerima lampu belakang dan lampu kabus belakang menggunakan mentol biasa, empat penderia parkir dan juga kamera undur yang dibawa dari versi sebelum ini.
Tiada perubahan besar dilihat pada bahagian kabin. Semuanya masih nampak serupa kecuali beberapa tingkat taraf seperti skrin untuk sistem infotainmen Mazda Connect yang kini lebih besar bersaiz lapan-inci, cermin pandang belakang yang sudahpun diberikan fungsi auto-malap dan juga telah menerima fungsi cruise control.
Model pasaran Malaysia ini datang dengan kemasan papan pemuka berwarna hitam, upholsteri tempat duduk gandingan leatherette dan sued hitam, serta serlahan jahitan benang merah. Manakala perincian lain seperti sistem pendingin hawa automatik zon tunggal, enam pembesar suara dan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin adalah sama seperti sebelum ini.
Untuk keselamatan, Mazda 2 pasaran Malaysia ini juga masih dibekalkan dengan dua beg udara bersama beberapa sistem keselamatan pasif lain seperti sistem brek ABS, EBD dan BA, sistem kestabilan elektronik dan kawalan traction, pengingat tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk, isyarat berhenti kecemasan, bantuan mula mendaki dan juga fungsi kunci automatik walkaway.
Model terbaharu Mazda 2 ini masih kekal digerakkan oleh unit rangkaian kuasa yang sama seperti sebelum ini. Ia menampilkan enjin 1.5 liter empat silinder NA Skyactiv-G berkuasa 114 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 149 Nm pada takat 4,000 rpm.
Kuasa disampaikan pada roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan automatik Skyactiv-Drive dengan mod manual yang boleh dioperasikan menerusi pedal penukar gear. Sistem Mazda i-Stop yang mematikan/menghidupkan semula enjin pada kelajuan pepura dan juga G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) bagi membantu pemandu masuk ke selekoh secara sempurna juga masih ditampilkan pada Mazda 2 ini.
Bagi pilihan warna badan, rona Platinum Quartz dan Snowflake White Pearl ditawarkan pada badan hatchback dan sedan. Begitu juga dengan warna signatur Soul Red Crystal juga boleh dipadankan pada kedua-dua jenis badan tersebut, tetapi dengan harga RM500 lebih mahal.
Manakala warna Polymetal Grey dan Airstream Blue hanya ditawarkan istimewa untuk Mazda 2 hatchback, dan warna Aero Gray hanya eksklusif untuk Mazda 2 sedan. Setiap pembelian disertakan dengan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 100,000 km dan juga servis percuma untuk tempoh sama. Manakala filem penapis haba Activ-e Film pula ditawarkan secara opsyen berharga RM1,900.
https://paultan.org/2023/12/05/m ... cruise-control-dll/
|
|
|
|
|
|
|
| |
|