PASANGAN Muhammad Daniel dan Nurhazwani Aqilah membuat kelainan pada hari bahagia mereka dengan berarak menaiki beca yang turut diiringi 20 basikal tua di Kampung Bemban, Senaling. FOTO Azrul Edham
Kuala Pilah: Biarpun di bawah terik mentari, namun pengantin lelaki sanggup mengayuh beca sejauh 300 meter (m) membawa pasangannya bagi meraikan hari bahagia di Kampung Bemban, Senaling di sini, hari ini.
Pasangan Muhammad Daniel Syimir Norhadi Hasan, 21 dan Nurhazwani Aqilah Mohd Hatta, 21, tampil membuat kelainan pada hari bahagia mereka dengan berarak menaiki beca yang di kayuh sendiri pengantin lelaki itu.
Lebih istimewa perarakan pasangan itu turut diiringi 20 penunggang basikal klasik yang turut disertai bapa pengantin, Norhadi Hasan Mohd Kasa, 47, yang memberi idea itu.
Norhadi Hasan berkata dia cuba melakukan sesuatu yang unik bagi meraikan pasangan mempelai itu yang bernikah pada 2 Disember lalu.
Saya adalah peminat basikal klasik dan bergiat aktif dengan Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan sejak 2014. Jadi, saya berhasrat mahu lakukan sesuatu yang kena dengan minat.
"Lebih-lebih lagi ini adalah anak lelaki sulung dan majlis pertama bagi kami. Saya mahu ia diingati bagi ahli keluarga.
"Tidak sangka ada yang berminat sertai perarakan pengantin bagi memeriahkan suasana. Beca ini milik rakan dari Seremban. Sebenarnya sudah setahun lebih saya tidak berkesempatan untuk mengayuh basikal jadi hari ini akhirnya dapat berkumpul dengan mereka," katanya.
Sementara itu, Muhammad Daniel Syimir berkata, pada mulanya dia terkejut apabila bapanya memberitahu idea untuk mengayuh beca, namun anggap ia sesuatu yang unik untuk diingati.
|