|
IZMIL bersama burung kakak tua yang hilang.
Kuala Lumpur: "Bukan harga menjadi ukuran, kasih sayang yang penting. Bonding atau ikatan dengan parrot (burung kakak tua) itu sudah macam anak," kata Izmil pemilik burung kakak tua yang hilang di Bukit Antarabangsa, Gombak, Selangor, sejak Ahad lalu.
Izmil berkata, dia menawarkan RM1,000 kepada mana-mana individu yang menjumpai burung kakak tua miliknya yang diberi nama Oobi itu.
Menurutnya, burung itu dikesan hilang apabila tidak pulang ke pangkuannya selepas membuat aktiviti terbang bebas bersama komuniti Kuala Lumpur Free Fly (KLFF).
"Setiap Ahad komuniti burung kakak tua akan bawa burung masing-masing buat aktiviti terbang bebas. Di Bukit Antarabangsa ini sudah menjadi tempat terbang bebas burung kakak tua sejak lima tahun lalu.
"Burung kakak tua ini semua yang terlatih. Pendek kata, burung yang dilatih untuk terbang bebas. Jadi, bila dilepaskan, akan kembali kepada tuanya.
"Jadi, bila ada serangan daripada helang, biasa mod survivor dia akan lari daripada pemangsa itu. Biasanya tak jauh. Tapi pada hari itu, burung kakak tua saya terbang off grid (luar grid). Jadi, dia sesat dari pemetaan yang biasa. Itu yang hilang," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, burung kakak tua miliknya yang sudah dipelihara sejak tiga tahun itu pernah hilang dan hampir diambil individu lain ketika membuat aktiviti itu.
"Apabila ini berlaku, ada dua kemungkinan. Pertama, ia diambil orang dan kedua, berkeliaran di kawasan Bukit Antarabangsa. Namun, selepas seminggu mencari, kami yakin dia diambil orang.
"Sebelum ini pernah terjadi di Bukit Kuak, Perak. Hampir diambil individu lain. Mujur saya cepat. Macam yang ini, dapat tahu saja dia tak pulang saya terus iklankan di semua platform media sosial, tampal, risalah dan ketuk pintu," katanya.
Menurutnya, aktiviti terbang bebas bagi kembalikan fitrah burung untuk terbang bebas dan bukan terkurung dalam sangkar semata.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... iharaan-yang-hilang |
|