RANTAU PANJANG: "Hancur luluh hati kami melihat 60 rumah di Kampung Tersang, di sini, ditenggelami air dan hanya nampak bumbung."
Demikian luahan penduduk, Suriani Daud, 50, yang kini berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh.
Semua 60 rumah di Kampung Tersang tenggelam dengan kebanyakan kediaman hanya nampak bumbung akibat banjir teruk di Rantau Panjang. - Foto Ihsan Penduduk.
Katanya, ketika dia berpindah ke PPS dua minggu lalu sejak gelombang kedua, paras air ketika itu belum mencecah dalam rumah namun kali ini banjir sangat teruk sebagaimana Disember tahun lalu dan Februari lalu.
"Bila saya dan suami pergi lihat rumah, hanya nampak bumbung dan tahap sedih itu hanya Allah saja yang tahu apabila melihat semua barang tidak dapat diselamatkan. Hancur luluh hati saya.
"Hanya dokumen penting sahaja yang selamat, lain-lain habis. Bukan saya seorang, sebaliknya semua 60 rumah di Kampung Tersang tenggelam.
"Buntu memikirkan nasib selepas ini dengan keadaan banjir yang mungkin masih ada gelombang lain selepas ini," katanya.