|
Gambar Pannir Selvam Pranthaman (dua, kanan) bersama abang dan adiknya yang berada dalam simpanan keluarga ketika ditemui di Bukit Jalil baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Kuala Lumpur: Sejak adiknya dipenjarakan di Singapura hampir 10 tahun lalu, hanya dua kali Sangkari Pranthaman dapat memegang tangan adiknya itu.
Kali pertama begitu meruntun perasaannya apabila dia mendapat tahu mahkamah mendapati adiknya, Pannir Selvam Pranthaman bersalah dan menjatuhkan hukuman mati pada tahun 2017, kerana mengedar 51.84 gram heroin.
"Saya pegang erat tangan adik saya. Saya beritahu dia, apa pun, kami akan cuba yang terbaik," katanya.
Kali kedua, keadaannya agak berbeza dan dia berasa lega dan gembira apabila Mahkamah Rayuan Singapura pada 23 Mei 2019 menangguhkan pelaksanaan hukuman mati, iaitu sehari sebelum hukuman berkenaan sepatutnya dijalankan.
Bernama berkesempatan bertemu dengan Sangkari dan adiknya Angelia di kediaman mereka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Angelia mendakap album foto, dipenuhi dengan gambar yang menyimpan pelbagai kenangan sejak zaman kanak-kanak mereka.
Angelia Pranthaman (kanan) menceritakan kisah abangnya Pannir Selvan Pranthaman yang akan dijatuhkan hukuman mati di penjara Singapura ketika ditemui di rumahnya di Bukit Jalil baru-baru ini. FOTO BERNAMA
Jelas mereka tidak dapat menahan rasa sedih mengenangkan Pannir Selvam, 36, akhirnya akan menjalani hukuman kerana sejak pandemik Covid-19 berakhir, Singapura mula meningkatkan pelaksanaan hukuman mati bagi pesalah dadah.
Singapura menangguhkan pelaksanaan hukuman mati untuk tempoh dua tahun akibat pandemik Covid-19 tetapi menyambung semula tindakan berkenaan pada bulan Mac 2022. Pada tahun lepas (2022), seramai 11 orang, semuanya pesalah dadah menjalani hukuman mati.
Perayaan Krismas tahun ini mungkin yang terakhir buat Pannir kerana hampir tiada lagi langkah perundangan yang boleh diusahakan dan kemungkinan hukuman matinya akan dijalankan pada 2024.
Menyedari kemungkinan ini, Sangkari, yang senang dipanggil Shan, dan Angelia tidak dapat menahan rasa pilu, air mata mula bergenang.
Banyak kisah dikongsikan dengan Bernama mengenai Pannir, zaman ketika mereka kecil serta igauan ngeri yang sedang mereka alami dan masih menghantui kehidupan mereka.
"Malahan selepas surat hukuman mati itu dikeluarkan (pada tahun 2019), ketika lawatan seminggu itu, kami tidak dapat memeluk atau menyentuh abang … atau bawa makanan yang kami masak," kata Angelia, menambah kari daging kambing adalah kegemaran abangnya.
Untuk keluarga seperti keluarga dua beradik ini, nasib yang menimpa Pannir menjadikan keluarga mereka lebih rapat, dan menghargai dua ketika dapat melihat Pannir, yang hayatnya mungkin berakhir tidak lama lagi.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... pura-masih-berharap |
|