View: 9649|Reply: 0
|
Messi, Bonmati dinobat pemain terbaik FIFA
[Copy link]
|
|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bsodsgvmwdn25y_1705362258.jpg)
Aitana Bonmati memenangi anugerah pemain terbaik wanita FIFA dalam majlis yang berlangsung di Eventim Apollo, London. - Foto REUTERS
Previous
Next
LONDON: Lionel Messi memenangi anugerah pemain terbaik lelaki FIFA 2023, manakala Aitana Bonmati mengungguli kategori wanita dalam majlis di London.
Messi meraih gelaran berkenaan buat kali ketiga, tetapi pemilihan pemain berusia 36 tahun itu menimbulkan kontroversi kerana mengatasi Erling Haaland dari Manchester City.
Anugerah kali ini hanya meliputi tempoh selepas Messi memacu Argentina menjuarai Piala Dunia dari Disember 2022 hingga Ogos 2023.
Sepanjang tempoh itu, pemenang lapan kali Ballon d'Or berkenaan mengharungi sisa-sisa karier yang kurang memberangsangkan di Paris Saint-Germain, walaupun berjaya menjuarai Ligue 1, sebelum menyertai kelab Major League Soccer, Inter Miami pada Jun.
Messi membantu kelab yang dimiliki oleh David Beckham itu memenangi trofi pertamanya dengan menjuarai Piala Liga pada Ogos.
Haaland adalah calon utama memenangi anugerah selepas meledak 52 kali pada musim sulungnya bersama City dan membantu kelab Inggeris itu merangkul treble Liga Juara-Juara, Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.
Selepas menerima jumlah mata yang sama daripada sistem pemarkahan berdasarkan undian kapten-kapten pasukan, jurulatih, wartawan dan peminat, Messi dinobatkan pemenang.
Bekas rakan sepasukan Messi di PSG, Kylian Mbappe di tempat ketiga.
Bagaimanapun ketiga-tiga finalis lelaki tidak dapat menghadiri majlis berkenaan dengan legenda Perancis dan Arsenal, Thierry Henry mewakili Messi untuk menerima hadiah.
Pemilihan Bonmati sebagai pemain terbaik wanita tidak diragui apabila dia menyapu bersih anugerah individu selepas membantu Sepanyol menjuarai Piala Dunia dan Barcelona di Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2023.
Pemain berusia 25 tahun itu turut memenangi Ballon d'Or, Bola Emas untuk Piala Dunia dan pemain terbaik UEFA beberapa bulan lalu.
Haaland disertai lima rakan sepasukan City - Kyle Walker, John Stones, Ruben Dias, Bernardo Silva dan Kevin De Bruyne - untuk pasukan pilihan terbaik.
Pemain Real Madrid, Thibaut Courtois, Jude Bellingham dan Vinicius Junior, Messi serta Mbappe melengkapkan kesebelasan utama.
Ederson dari City memenangi anugerah penjaga gol terbaik, manakala Mary Earps yang mewakili England dan Manchester United memenangi kategori wanita.
Pengendali skuad wanita kebangsaan England, Sarina Wiegman dinobatkan jurulatih wanita terbaik selepas membimbing The Lionesses ke final Piala Dunia.
Pasukan lelaki Brazil memenangi anugerah fair play selepas memakai jersi serba hitam buat pertama kali sebagai sokongan kepada Vinicius, yang sering menjadi mangsa perkauman ketika bermain untuk Madrid tahun lalu.
Pemain Brazil turut melakar kejayaan dalam anugerah Puskas menerusi Guilherme Madruga yang menjaringkan gol menarik ketika mewakili Botafogo. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... pemain-terbaik-fifa |
|
|
|
|
|
|
| |
|