View: 8825|Reply: 0
|
BMW iX 2024 dikemaskini di M’sia
[Copy link]
|
|
BMW iX 2024 untuk pasaran Malaysia kini telah menerima peningkatan dari sudut senarai kelengkapannya serta penawaran varian — xDrive40 dan xDrive40 Sport kini telah digugurkan, menjadikan hanya ada varian ditawarkan selepas ini iaitu xDrive50 Sport dan M60.
Dari segi harga, iX xDrive50 Sport dijual RM465,800, atas jalan tidak termasuk insurans, sementara versi M60 pula pada harga RM579,800. Angka ini bagaimanapun tidak termasuk pakej BMW Service & Repair Inclusive (BSRI), yang melibatkan lanjutan jaminan kepada lima-tahun (daripada dua-tahun standard) dan pakej servis enam-tahun.
Dengan BSRI, harga xDrive50 Sport menjadi RM499,000, manakala M60 menjadi RM613,000. Berbanding senarai harga lama sebelum ini, xDrive50 dan M60 masing-masing lebih murah sebanyak RM62,630 dan RM32,630 kini, dengan atau tanpa BSRI.
Perubahan senarai kelengkapan pula menyaksikan xDrive50 Sport kini datang dengan pengecas dalaman AV (Type 2) yang dipertingkat kapasitinya menjadi 22 kW berbanding hanya 11 kW sebelum ini. Pengecasan AC kini hanya memerlukan masa lima jam 30 minit untuk satu cas penuh dan bukan lagi 11 jam seperti sebelum ini. M60 pula memang sudah dilengkapi dengan pengecas AC 22 kW.
Tiada perubahan untuk pengecas DC (CCS), dengan kapasiti maksimum 195 kW untuk membolehkan baterinya dicas 0-80% dalam masa hanya 35 minit. Jarak perjalanan yang diperoleh juga sama, dengan xDrive50 Sport memberikan 630 km (WLTP) sementara M60 dengan 561 km — kedua-duanya menggunakan bateri berkapasiti 111.5 kWh (109.4 kWh kapasiti bersih).
iX menampilkan dua motor dan tetapan pacuan semua roda dengan janaan 523 PS (516 hp atau 385 kW) dan 765 Nm tork bagi xDrive50 Sport (0-100 km/j dalam masa 4.6 saat), manakala bagi M60 pula dengan 619 PS (610 hp atau 455 kW) dan 1,100 Nm (0-100 km/h dalam masa 3.8 saat). Bagi xDrive50 Sport, ada satu kemaskini penting — suspensi udara dua-gandar adaptif, yang sudah menjadi ciri standard untuk M60.
iX yang dikemaskini juga menerima BMW Operating System 8.5 yang baru, serta Comfort Access diperkemas dengan Digital Key Plus. Ini membolehkan pengguna untuk membuka kunci menggunakan telefon yang serasi — dan boleh dikongsi kepada lima lagi peranti lain. Varian xDrive50 Sport juga kini dilengkapi ciri Parking Assistant Professional yang ada pada M60 — dipertingkat daripada Parking Assistant Plus yang melibatkan pertambahan bantuan parkir mengundur dan mengiring, serta Manoeuvering Assistant.
Selain kelengkapan yang ditambah ini, ada juga perkara yang digugurkan atau diubah. Misalnya, ciri bumbung kaca panoramik Sky Lounge telah digugurkan untuk xDrive50 Sport, sementara untuk M60, sistem bunyi Bowers & Wilkins telah digantikan oleh sistem Harman Kardon.
Ciri lain yang diguguran ialah lampu utama Leserlight (kini LED standard), aplikasi dalaman Clear & Bold untuk xDrive50 Sport, kemasan luaran Titanium Bronze M untuk xDrive50 Sport, kawalan gerakan serta pengudaraan kerusi bagi M60. Selebihnya, ruang dalaman kekal sama seperti sebelumnya — antara lain dilengkapi Live Cockpit Professional dengan paparan panel instrumen 12.3-inci dan infotainmen 14.9-inci.
BMW iX ditawarkan dengan pilihan warna seperti berikut: Alpine White, Mineral White Metallic, Black Sapphire Metallic, Sophisto Grey Metallic dengan Brilliant Effect, Phytonic Blue Metallic, Oxide Grey Metallic dan Blue Ridge Mountain Metallic. Tambah RM6,200, pelanggan boleh mendapatkan warna Aventurine Red Metallic atau Individual Storm Bay Metallic.
Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk bateri, bantuan tepi jalan dan talian kecemasan serta sokongan BMW Service Online.
https://paultan.org/2024/02/16/b ... iada-lagi-xdrive40/
|
|
|
|
|
|
|
| |
|