|
REAKSI kecewa Kane (kanan) dan rakan sepasukannya, Kim Min-jae. FOTO REUTERS
Bochum: Jurulatih Bayern Munich, Thomas Tuchel berkata memenangi kejuaraan Bundesliga musim ini "tidak begitu realistik sekarang" selepas kelab gergasi itu mengalami kekalahan lagi awal pagi tadi yang menyebabkan Bayer Leverkusen bimbingan Xabi Alonso selesa dengan kelebihan lapan mata di puncak liga.
Kekalahan 2-3 di Bochum adalah kekalahan ketiga berturut-turut dialami Bayern selepas tewas 0-3 di tangan pendahulu liga, Leverkusen hujung minggu lalu dan tumbang 0-1 pada pertengahan minggu di Lazio dalam saingan Liga Juara-Juara.
Juara Jerman itu tidak pernah tewas tiga perlawanan berturut-turut sejak 2015, iaitu termasuk ketika mereka tewas aksi separuh akhir kepada Barcelona dalam Liga Juara-Juara dan Borussia Dortmund di Piala Jerman.
Ditanya sama ada kedudukannya dalam bahaya, Tuchel berkata: "Tidak ada gunanya bimbangkan perkara itu."
Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Jan-Christian Dreesen memberitahu wartawan, Tuchel "sudah tentu" berada di tempat duduknya apabila menentang Leipzig, Ahad ini.
"Saya tahu apa yang orang ramai mahu dengar, tetapi perkara ini akan reda selepas seminggu.
"Itulah sebabnya saya mengatakannya dengan cara saya. (Pemecatan Tuchel) bukanlah isu yang kami pertimbangkan pada masa ini. Kami perlu menumpukan perhatian pada beberapa perlawanan seterusnya," katanya.
Bayern mendahului 1-0 menerusi jaringan pertama Jamal Musiala, tetapi ketinggalan 1-3 ketika berbaki 10 minit selepas Dayot Upamecano memberikan penalti kepada lawan dan dibuang padang.
Gol lewat Harry Kane memberi harapan kepada Bayern tetapi ia sudah terlambat untuk menafikan kemenangan Bochum.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ayern-semakin-sukar |
|