|
Setelah dibuka tempahan sejak akhir Februari lalu, akhirnya barisan model MG4 EV dilancarkan secara rasminya untuk pasaran Malaysia. Hatchback lima-pintu elektrik penuh ini ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard dengan harga atas jalan bermula RM103,999 tanpa insurans, Lux berharga RM128,999, RM148,999 untuk Lux Extended dan model spesifikasi padu XPower pula berharga RM158,999.
Bagi varian Standard, ia diberikan motor tunggal dengan kuasa 125 PS (170 kW) dan tork 250 Nm, membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat. Dengan menggunakan bateri lithium iron phosphate 51 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 350 km mengikut WLTP.
Manakala untuk Lux pula, ia tampil dengan kuasa 150 PS (203 kW) dan tork yang sama dengan Standard, namun bagi pecutan 0-100 km/j mencecah 7.7 saat. Ia digandingkan dengan bateri lithium iron phosphate 64 kWh membolehkannya mencapai jarak gerak hingga 430 km mengikut WLTP.
Untuk varian Lux Extended Range pula, ia mampu menghamburkan kuasa hingga 180 PS (245 kW) dan tork 350 Nm, dan pecutan dari 0-100 km/j mampu dicapai pada 6.1 saat. Dengan bateri lithium iron phosphate 77 kWh, ia mampu memberikan jarak gerak hingga 520 km mengikut WLTP. Ketiga-tiga varian ini dipacukan sistem roda belakang (RWD).
Bagi varian paling padu pula, XPower yang merupakan jentera pacuan semua-roda (AWD), diberikan padanan dwi-motor, sekaligus memberikannya ledakan kuasa cecah 435 PS dan tork 600 Nm. Walau bagaimana pun, ia dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate berkapasiti 64 kWh dan memberikannya jarak gerak 384 km. XPower turut diberikan empat mod brek regeneratif dan Dynamic Cornering Control System yang disepadukan dengan locking electronic differential dan kawalan motor pintar untuk memudahkan penvektoran tork bagi kesemua empat rodanya.
Kesemua empat varian MG4 ini menerima ciri Magnify i-Smart yang dipadankan dengan transmisi automatik kelajuan-tunggal dan diberikan lima mod pemanduan (Eco, Normal, Sport, Snow, Custom).
MG4 turut dilengkapi port pengecasan Type 2 dan CCS2, dengan menggunakan pengecas AC 7 kW, ia mengambil masa selama lapan jam bagi varian Standard untuk mencapai pengecasan penuh, manakala Lux dan Xpower pula sekitar 8.5 jam serta Lux Extended Range pula mencecah 10 jam. Manakala jika menggunakan pengecas pantas DC 150 kW, tahap pengecasan 10% hingga 80% boleh dicapai dalam 26 minit sahaja untuk varian Lux dan XPower, manakala Standard dengan 37 minit serta Lux Extended Range pula sekitar 38 minit. Bukan itu sahaja, MG4 juga diberikan on-board charger berkapasiti 11 kW.
Hatchback EV ini memiliki ukuran dimensi 4,287 mm panjang, 1,836 mm lebar, 1,504 mm tinggi dan jarak rodanya 2,705 mm serta memiliki jarak kelegaan tanah (ground clearance) mencecah 117 mm. Bagi ruang penyimpanan barang di belakang, ia berkapasiti 363 liter dan boleh mencecah 1,177 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
[img]https://i0.wp.com/paultan.org/image/2024/02/2024_MG_Models_Preview_MG4_EV_Ext-9-BM.jpg?w=417&h=278&ssl=1[/img]
Dengan gaya ala crossover, hatchback ini menerima sentuhan rekaan penuh bergaya dan impresif. Gayanya cukup terserlah terutamanya pada garisan dan lekuk pada badannya yang menampakkan sifat yang lebih garang, sporty dan agresif.
Bagi tiga varian teratas, ia diberikan lampu utama projektor LED dengan teknologi reflektif (unit projektor LED untuk Standard), palang pencahayaan sentral dengan paten di belakang, Twin Aero Spoiler, cermin sisi boleh lipat, roda aloi 18-inci (bersama kaliper jingga untuk X-Power sahaja/Standard hanya aloi 17-inci) dan bumbung hitam.
Manakala ciri standard untuk semua varian termasuk lampu nyalaan siang LED, lampu utama automatik on/off, spoiler belakang dan lampu belakang LED.
Di dalamnya, sentuhan agak ringkas bagi sebuah EV, tanpa elemen futuristik. Ciri kelengkapan standard untuk semua varian terdiri daripada kokpit maya tujuh-inci, paparan ‘terapung’ 10.25-inci, kawalan suhu automatik, roda stereng balutan kulit dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, varian Standard hanya diberikan empat-pembesar suara, upholstery fabrik dan larasan manual bagi tempat duduk hadapan.
Manakala tiga varian teratas menerima enam-pembesar suara dengan efek 3D, dwi tona dengan jahitan jingga untuk serlahan kabin (Lux dan Extended Lux sahaja), pengecas telefon tanpa wayar, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa enam-cara, Mobile Phone BT Key, cermin pandang belakang auto-kelam, dan upholstery kulit Alcantara dengan rona hitam. Varian X-Power pula menerima ciri tambahan metal sport pedal dan Launch Control.
Barisan MG4 turut menerima ciri MG iSMART di mana enjin dan pendingin hawa boleh dihidupkan menerusi peranti telefon pintar pemiliknya. Selain itu, aplikasi ini juga mencatatkan sistem navigasi onboard, informasi kenderaan dalam masa sebenar seperti kondisi bateri, tahap bateri dan kondisi brek serta mengesan sekiranya ada pergerakan luar biasa kenderaan iaitu aplikasi ini boleh memaklumkan penggunaan kereta yang disyaki kecurian dengan serta-merta.
Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, MG4 turut dilengkapi dengan MG Pilot yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), AEB dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kesesakan Trafik (TJA), Amaran Ketibaan Lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA) dan Bantuan Lampu Tinggi Pintar secara standard untuk semua varian.
Manakala tiga varian tertinggi menerima ciri keselamatan tambahan iaitu Pengesan Titik Buta (BSD), Bantuan Tukar Lorong (LCA), Kepekaan Trafik Lintasan Belakang (RCTA), Amaran Membuka Pintu (DOW), dan kamera 360-darjah.
Selain itu, kesemua varian juga diberikan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Program Kestabilan Elektronik (ESP), Bantuan Mula Mendaki (HSA), sistem pemantauan tekanan tayar serta pengingatan tali pinggang keledar hadapan dan belakang.
Untuk warna luarannya, MG4 ini diberikan tujuhan pilihan rona iaitu Holburn Blue, Camden Grey, Monument Silver, Black Pearl, Artic White, Dynamic Red dan Volcano Orange. Setiap pembelian MG4 didatangkan dengan waranti kenderaan tujuh-tahun/150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) dan waranti bateri selama lapan-tahun/180,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Penukaran bateri ‘one to one’ juga ditawarkan sekiranya ‘state-of-health’ bateri di bawah 70% dalam tempoh waranti.
Jika membuat tempahan dan mendaftar model MG sebelum 30 April 2024, pembeli bakal menerima pakej eksklusif iaitu wallbox charger 7kW percuma termasuk pemasangan untuk MG4 Standard (bernilai RM4,600) dan 11 kW untuk MG4 Lux (RM5,200). Manakala pembelian MG4 Lux Extended Range dan MG4 XPower pula bakal menerima 1,000 kredit pengecasan percuma dengan DC Handal dam JomCharge.
https://paultan.org/2024/03/27/m ... 0-km-dari-rm103999/ |
|