View: 4398|Reply: 0
|
[Kelantan]
Ruslan dapat kad pengenalan di usia 62 tahun
[Copy link]
|
|
NOOR Mardiah menunjukkan kad pengenalan milik adiknya, Muhammad Ruslan yang mengalami masalah mental sejak kecil, sambil diperhatikan seorang lagi adiknya, Nor Hasmiza ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Bharu. FOTO Siti Rohana Idris
Tumpat: Lelaki warga emas yang juga seorang pesakit mental dari Wakaf Bharu, di sini, memiliki kad pengenalan di usia 62 tahun.
Muhammad Ruslan Ali yang mengalami masalah mental sejak kecil menetap bersama empat lagi adik beradiknya yang juga kategori orang kurang upaya (OKU) sepertinya termasuk masalah lembam.
Kakaknya, Noor Mardiah Ali, 64, berkata, mereka semua sembilan beradik dengan tiga daripadanya normal manakala selebihnya menghidap masalah mental dan lembam.
"Seorang daripada adik beradik kami sudah meninggal dunia dan dalam enam beradik yang mental serta lembam, hanya Muhammad Ruslan yang tidak memiliki kad pengenalan, mungkin ada kaitan dengan kekangan ibu bapa ketika itu.
"Disebabkan baru menyedari dokumen itu agak penting bagi Ruslan terutama jika apa-apa berlaku padanya suatu hari nanti, saya ikhtiar mendapatkan kad pengenalan dan Alhamdulillah, hari ini dia sudah memilikinya," katanya ketika ditemui di Belakang Klinik Kesihatan Wakaf Bharu, di sini.
Terdahulu, dokumen itu diserahkan kepada Noor Mardiah oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Badrul Hisham Alias dengan diiringi Timbalannya, Sarinah Apisah serta Pengarah JPN Kelantan, Asrehan Ab Razak yang turun padang sempena Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR), hari ini.
Noor Mardiah berkata, lima adiknya yang 'istimewa' itu menetap di rumah pusaka berdekatan kediamannya namun setiap hari dia akan datang menjenguk kerana bimbangkan keselamatan mereka.
Menurutnya, makan minum lima beradik itu diuruskan Nor Hasmiza, 51, yang juga mengalami masalah lembam namun agak boleh diharapkan untuk menguruskan rumah tangga.
"Nor Hasmiza akan ke rumah saya untuk mendapatkan makanan dan bekalan lauk pauk untuk dimasak.
"Tiga daripada mereka memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan dengan wang itulah saya membelikan bekalan makanan untuk mereka," katanya.
Noor Mardiah berkata, dari segi keselamatan lima beradik itu, dia hanya berserah dan tawakal kepada Allah kerana dalam usianya yang semakin lanjut, agak sukar juga mengawal pergerakan mereka.
Katanya, mereka agak bernasib baik kerana lima adiknya yang istimewa itu tidak merayau terlalu jauh dan mengancam keselamatan orang ramai.
"Kelima-lima mereka perlu mengambil ubat penenang setiap hari dan jika tidak, mereka menjadi sedikit agresif terutama jika lapar namun tidaklah sampai mengancam keselamatan orang luar sebaliknya hanya mengamuk dalam rumah saja.
"Saya tidak tahu bagaimana nasib mereka jika umur saya tidak panjang nanti tapi empat anak saya sudah memberi jaminan akan terus menjenguk kelima-lima adik saya ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-di-usia-62-tahun |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|