Edited by maklukpenggoda at 11-4-2024 09:58 AM
KUALA LUMPUR: Kes jenayah rogol membabitkan gadis bawah umur menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh tiga tahun lepas dan polis percaya kebanyakannya bermula daripada pengantunan (grooming) melalui media sosial, termasuk aplikasi sembang seperti WhatsApp.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan berkata, rata-rata mangsa memberitahu polis, mereka mengenali pelaku melalui laman sosial.
“Sebahagian besar gadis bawah umur yang menjadi mangsa rogol ini memberitahu pegawai penyiasat mereka mengenali individu yang merogol mereka melalui laman sembang dan media sosial terlebih dahulu sebelum berjumpa.
“Ini menunjukkan gadis ini melalui fasa ‘grooming’ terlebih dahulu dengan hantaran mesej bermula ‘hai’ dan kata-kata pujian lain, kemudian penghantaran gambar bogel oleh gadis berkenaan dan ke fasa berjumpa yang membawa kepada kejadian rogol atau rogol berkumpulan,” katanya kepada Bernama.
Statistik polis merekodkan 1,299 kes rogol bawah umur dilaporkan pada 2021, meningkat kepada 1,388 kes pada 2022 dan 1,590 kes tahun lalu.
Jenayah rogol berkumpulan melibatkan mangsa bawah umur turut menunjukkan trend sama dengan 61 kes dilaporkan pada 2021, meningkat kepada 103 kes pada 2022 dan 104 kes tahun lalu.
Siti Kamsiah berkata, selain dijadikan platform pengantunan, media sosial turut digunakan pedofilia untuk menyebarkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak kepada individu lain yang berkongsi kecenderungan dengannya.
“Mereka berkongsi (sesama sendiri) bagaimana mereka memperdaya kanak-kanak tersebut dan keseronokan mereka apabila berjaya mengeksploitasi kanak-kanak berkenaan.”
Bagi menangani isu pengantunan ini, katanya, peranan ibu bapa amat dituntut.
Terapkan adab dalam anak-anak agar menjaga batas ketika bersosial di alam maya. Ingatkan mereka tidak sewenang-wenangnya berkongsi perkara atau perlakuan melampaui batas adat, budaya dan larangan agama.”
Ibu bapa juga, menurutnya, perlu sentiasa memeriksa dan memantau aktiviti anak, terutama dalam penggunaan peranti serta alat telekomunikasi.
“Paling penting, ibu bapa perlu tanam nilai dan sahsiah tinggi, terutama perasaan malu untuk melakukan sesuatu bercanggah dari sudut moral dan agama, iaitu perbuatan yang boleh memalukan dan memudaratkan diri.”
Beliau berkata, ibu bapa juga perlu meningkatkan tahap kawalan kendiri anak untuk melindungi diri daripada menjadi sasaran pedofilia yang memanfaatkan kecanggihan teknologi komunikasi.
“Mereka (kanak-kanak) perlu faham apa yang menjadi ancaman kepada diri dan bagaimana mempertahan dan melindungi diri.”
|