|
MAISARAH menunjukkan foto abangnya, Aizuddin yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 9.9, Lebuhraya Ketereh – Kota Bharu, di sini. FOTO Siti Rohana Idris
Kota Bharu: "Dalam Ramadan lalu, saya bermimpi sebatang gigi bahagian bawah patah dan rupanya itu petanda kematian anak."
Begitu kata Ahmad Joshman Abdul Rahman, 46, apabila anaknya antara tiga penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Kilometer 9.9 Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu, di sini, hari ini.
Ahmad Joshman berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan anaknya Ahmad Aizuddin, 21, atau mesra dipanggil Judin maut selepas terbabit dalam kemalangan.
Menurutnya, sebelum itu anak sulung daripada lima beradik terbabit keluar makan bersama sekumpulan rakannya di sebuah kedai makan di Ketereh, di sini, kira-kira jam 9 malam semalam.
"Sekitar jam 1 pagi (tadi) saya dihubungi menantu meminta saya dan isteri bersiap-siap tanpa memberitahu ingin pergi ke mana?
"Tidak lama kemudian jiran datang ke rumah memberitahu Judin terbabit kemalangan jalan raya dan meninggal dunia.
"Hampir pitam saya mendengar perkhabaran itu, manakala isteri pula menangis dan kami segera bersiap ke hospital," katanya.
Ahmad Joshman berkata demikian ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian, di sini, hari ini.
Selain Ahmad Aizuddin, dua lagi mangsa iaitu Mohd Hazman Uji, 21, dan individu dikenali sebagai Faiz, 19, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital USM, di sini.
Ahmad Joshman berkata, tiada perubahan dilihat pada Judin kerana anaknya memang tidak banyak cakap, namun dia ada bermimpi sebatang giginya patah yang sering dikaitkan dengan kematian.
Menurutnya, sebaik mendapat mimpi itu, perasaannya sering bimbang dan tertunggu-tunggu siapa yang akan dijemput Ilahi walaupun menganggap ia hanya mainan tidur.
"Rupa-rupanya anak saya sendiri yang pergi meninggalkan kami di Syawal ketujuh dan pemergiannya sangat mengejutkan.
"Walaupun reda dengan takdir ini, kami sekeluarga agak terkilan kerana ramai yang menuduh mereka (kumpulan motosikal) berlumba sedangkan mereka semua baru pulang dari kedai makan," katanya.
Kenyataan itu turut diakui keluarga Mohd Hazman yang menafikan sembilan remaja termasuk mangsa berkonvoi pulang dari kedai makan.
Ibunya, Che Limah Che Uji, 59, berkata anaknya memberitahu mahu keluar makan dan dia tidak menghalang kerana anak kelima daripada enam beradik itu selalu keluar bersama rakan.
"Hazman seorang yang ceria dan suka berkawan, cuma beberapa hari lalu sikapnya semakin mesra, namun saya tidak menganggapnya satu keanehan sehinggalah tragedi ini berlaku.
"Anak saya memang suka membaik pulih motosikal tapi setakat pengetahuan saya, tidaklah sampai berlumba seperti yang dituduh dan ia diakui sendiri rakan-rakannya," katanya sambil memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Gajah, di sini.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan tiga mangsa yang menunggang motosikal secara konvoi maut selepas berlaku perlanggaran sesama sendiri kira-kira 12.30 tengah malam tadi.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... a-berlumba-keluarga |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|