View: 8446|Reply: 0
|
[Terengganu]
Pakai 'topeng', gogal untuk bakar kuih
[Copy link]
|
|
PEKERJA memakai topeng ketika proses membakar adunan kuih tradisional di Kampung Padang Tengir, Manir. FOTO Ghazali Kori
Kuala Terengganu: Pasangan suami isteri dan pekerjanya menggunakan 'safety particulate respirators' dan gogal ketika membakar kuih tradisional dilihat agak pelik dan unik.
Namun kaedah itu dilihat lebih efisyen bagi menghalang penglihatan terganggu dengan asap tebal sepanjang proses pembakaran berlaku.
Nor Azilah Ali, 41, dari Kampung Padang Tengir, Manir dekat sini berkata, dia menggunakan alat berkenaan kerana tidak tahan ketika berdepan bahang api dan asap tebal sepanjang proses membakar kuih tradisional yang diusahakan itu.
Menurutnya, kuih bakar, akok dan baulu yang dijual akan dibakar menggunakan tempurung kelapa, kayu api, arang dan sabut kelapa yang sememangnya mengeluarkan asap yang tebal.
Katanya, idea untuk menggunakan peralatan itu diilhamkan adik iparnya yang bekerja di dalam sektor minyak dan gas (OAG).
"Saya membeli alatan ini dalam talian dan ia mempunyai dua penapis iaitu yang tebal dan nipis di sebelah kiri dan kanannya.
"Penapis nipis ditukar dua kali sebulan, manakala penapis tebal sekali sebulan turut dibeli di dalam talian," katanya yang mewarisi pembuatan kuih tradisional itu daripada ibu saudaranya, Zainab Ismail, 74, sejak lapan tahun lalu.
Menurutnya, sebelum ini dia membakar kuih muih berkenaan tanpa gunakan apa-apa alatan namun dengan menggunakan safety particulate respirators dan gogal membolehkannya berhadapan dengan asap tebal tanpa menyakitkan mata.
Katanya, walaupun terdapat pelbagai kaedah moden untuk membakar kuih berkenaan namun dia memilih untuk mengekalkan cara tradisional kerana kaedah itu menghasilkan aroma kuih yang berbeza berbanding penggunaan alatan moden.
Nor Azilah berkata, sebagai contoh kuih baulu boleh dimasak menggunakan dapur gas namun kuih bakar tidak boleh kerana kuih itu perlu menggunakan bahan bakar di bahagian atas dan bawah kuih.
"Oleh itu, kaedah pembakaran amat perlu bagi memastikan kuih yang dihasilkan masak dengan sempurna sebelum dijual kepada pelanggan.
"Mujur lah ada 'topeng' ini...tidaklah berair mata apabila asap menyelubungi ruang pembakaran kuih dan dengan menggunakan kaedah ini kerja membakar kuih menjadi semakin lancar.
"Mungkin orang lihat pelik dan mencuit hati kerana seolah-olah kami ini petugas yang hendak mengendalikan bahan kimia namun topeng inilah yang membolehkan kami 'bertarung' dengan asap dari 8 pagi hingga 1 tengah hari," katanya.
Menurutnya, musim cuti sekolah dan perayaan dia akan meningkatkan penghasilan kuih tradisional itu dan dalam masa sama pembakaran kuih juga akan meningkat dan dengan menggunakan alatan itu kerja dapat dilakukan dengan mudah.
Katanya, resipi dan penyediaan kuih tradisional berkenaan tetap sama namun yang berlainan hanya pekerja yang bekerja membakar kuih itu saja menggunakan alatan bagi melindungi daripada kesukaran berdepan asap tebal.
Tambahnya, dia menggunakan safety particulate respirators dan gogal sejak tiga tahun lalu dan akan terus menggunakan alatan berkenaan kerana dilihat memudahkan kerjanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... al-untuk-bakar-kuih |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|