View: 3134|Reply: 0
|
[Terengganu]
Kaki buruh Indonesia digilis treler selepas tikam pengawal keselamatan
[Copy link]
|
|
Keadaan Muhammad Akmal Danial yang cedera akibat ditikam buruh Indonesia di dalam wad Hospital Kemaman hari ini.
KEMAMAN – Seorang pengawal keselamatan tidak menyangka ketegasan mengarah seorang buruh warga Indonesia yang berkeliaran di kawasan ladang kelapa sawit pada awal pagi pulang ke rumah berakhir dengan dia ditikam lelaki itu di Bandar Seri Bandi di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.55 pagi itu, pinggul kiri mangsa, Muhammad Akmal Danial Mohd. Zaid, 23, cedera ditusuk dengan sebilah pisau dengan kedalaman hampir empat sentimeter.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakan setugasnya dikatakan telah terserempak dengan suspek dalam keadaan mencurigakan sewaktu mengadakan rondaan di kawasan pejabat dan perumahan ladang berkenaaan.
“Suspek yang berusia 23 tahun dikatakan dijumpai berkeliaran sambil memegang sebilah parang sebelum mangsa mengarahkannya pulang ke rumah.
“Pada mulanya suspek enggan pulang tetapi akhirnya akur selepas parang dipegangnya dirampas rakan setugas mangsa,” katanya di sini hari ini.
Hanyan berkata, begitupun sewaktu dalam perjalanan pulang sambil diiringi kedua-dua pegawai keselamatan tersebut termasuk Muhammad Akmal Danial, suspek tiba-tiba bertindak melarikan diri.
Tambahnya, sewaktu dikejar dua pengawal keselamatan berkenaan, suspek dikatakan tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau lalu menikam punggung Muhammad Akmal Danial.
“Suspek seterusnya melarikan diri ke arah Plaza Tol Kijal berhampiran sebelum cuba menahan sebuah lori treler.
“Pemandu lori treler itu enggan berhenti menyebabkan suspek nekad memanjat lori tersebut sebelum terjatuh lalu digilis kenderaan terbabit menyebabkan kakinya hancur dari bahagian paha,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... ngawal-keselamatan/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|