View: 7799|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Tak masuk akal bayar RM10 dapat kelulusan cermin gelap, khidmat polis pengiring - Presiden PBPM
[Copy link]
|
|
HANTARAN yang menawarkan keahlian VVIP dalam PBPM pada harga RM10 dengan manfaat luar biasa. FOTO ihsan pembaca
Kuala Lumpur: Hantaran yang menawarkan keahlian VVIP dalam Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) pada harga RM10 dengan manfaat luar biasa adalah helah digunakan sindiket penipuan.
Presiden PBPM, Datuk Mokhtar Omar berkata, helah sama pernah dikesan pihaknya sebelum ini dan ia dilihat berulang semula dengan kewujudan hantaran itu.
"Sebelum ini pun kami ada terima aduan mengenai perkara sebegini dengan dua laporan polis dibuat sehingga kami membuat sidang media bagi menjelaskannya.
"Ada juga orang ramai yang tahu itu adalah 'scammer' kerana kami tidak pernah menawarkan keahlian dengan manfaat sebegitu," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mokhtar berkata, manfaat yang ditawarkan oleh sindiket penipuan itu adalah perkara yang tidak masuk akal dan menyalahi undang-undang.
"Kita memang ada beri keahlian kepada individu yang banyak memberikan sumbangan kepada persatuan ini sebagai Ahli Kehormat, namun tidak pernah wujud istilah VVIP.
"Pada masa sama, kami tidak pernah menawarkan manfaat seperti kelulusan memakai cermin gelap 100 peratus pada kenderaan dan khidmat polis pengiring dengan bayaran RM300 bagi 10 kilometer (km) selain pemberian sijil, kad serta nombor pendaftaran kenderaan.
"Perkara yang salah tetap salah dan kami (PBPM) tidak terkecuali daripada itu," katanya.
Beliau berkata, pihaknya sukar untuk mengambil tindakan terhadap 'scammer' terbabit kerana permohonan untuk mendaftar logo persatuan itu di bawah harta intelek tidak diluluskan.
"Persatuan tidak dapat ambil tindakan menyaman 'scammer' terbabit walaupun kita tahu siapa pihak yang membuat tawaran itu.
"Kami hanya boleh buat laporan atas kesalahan menggunakan nama persatuan, namun jumlah denda dikenakan tidak besar sedangkan keuntungan diperolehi daripada kegiatan itu lebih lumayan," katanya.
Beliau menasihatkan supaya orang ramai tidak mudah percaya dan terpedaya dengan tawaran seumpama itu.
"Sekiranya orang ramai ingin mendapatkan sebarang maklumat lanjut berkaitan persatuan ini, mereka boleh menghubungi pejabat PBPM untuk maklum balas," katanya.
Terdahulu, satu hantaran menawarkan keahlian Ahli Kehormat dan VVIP PBPM pada bayaran RM10 tular di media sosial, baru-baru ini.
Dalam hantaran itu, individu yang mendaftar akan menerima manfaat seperti kelulusan memakai cermin gelap 100 peratus pada kenderaan dan khidmat polis pengiring dengan bayaran RM300 bagi 10 km selain pemberian sijil, kad serta nombor pendaftaran kenderaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... gelap-khidmat-polis |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|