CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5049|Reply: 0

[Kelantan] 'Daripada hidup gelandangan, lebih saya tinggal di Rumah Seri Kenangan'

[Copy link]
Post time 24-4-2024 02:15 PM | Show all posts |Read mode
'Daripada hidup gelandangan, lebih saya tinggal di Rumah Seri Kenangan'


Siti Rohana Idris
[email protected]



CHE Norhayati (tiga kiri) bersama penghuni Rumah Seri Kenangan ketika meraikan kira-kira 40 warga emas di rumah perlindungan itu. FOTO Siti Rohana Idris





Kota Bharu: "Lebih baik saya tinggal di Rumah Seri Kenangan (RSK) daripada hidup gelandangan, sekurang-kurangnya ada kawan dan tempat tinggal," kata seorang penghuni rumah perlindungan itu yang ingin dikenali sebagai Osman.

Meskipun baru 16 bulan menetap di RSK Pengkalan Chepa, di sini, Osman, 66, tidak menyesal memilih rumah perlindungan itu sebagai tempat menghabiskan sisa hidupnya walau masih ada empat lagi adik beradik.

Dia yang tidak pernah berkahwin berkata, hidupnya terisi dengan ramai kawan yang juga penghuni di RSK selain seronok dapat mengisi masanya dengan pelbagai aktiviti disediakan.

"Sebelum ini saya menetap bersama adik perempuan di Terengganu tapi lama-kelamaan timbul perasaan enggan membebankan mereka sekeluarga maka saya memilih untuk dihantar ke sini (RSK).

"Lebih baik saya berada di rumah perlindungan ini daripada menjadi gelandangan, sekurang-kurangnya makan minum terjaga selain ada tempat tinggal.

"Tidak dinafikan kadang-kala timbul rasa rindu terhadap keluarga tapi jika ada masa terluang, mereka tetap datang mengunjungi saya di sini," katanya ketika ditemui pada sambutan Aidilfitri di RSK anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang meraikan kira-kira 40 penghuni di rumah perlindungan itu, hari ini.

Osman berkata, menyambut Ramadan dan Aidilfitri di RSK sangat mengujakan kerana sentiasa diraikan sama ada individu atau syarikat dermawan yang tidak pernah melupakan mereka yang terasing dari keluarga.

Sementara itu, Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed berkata, seramai 20 wakil persatuannya hadir bersama juadah masing-masing untuk menyantuni penghuni RSK selain bertanya khabar.

"Kami cuba menghiburkan hati warga emas ini yang kebanyakannya menyambut Aidilfitri tanpa ahli keluarga dan sekurang-kurangnya dapat menceriakan mereka," katanya.

Seorang lagi penghuni RSK, Normah (bukan nama sebenar), 62, berkata, sudah tiga tahun dia tinggal di RSK dan keputusan itu dibuat kerana tidak ingin berpisah dengan anak tunggalnya yang kini menuntut di sebuah institusi pendidikan di Kota Bharu.

Dia yang berasal dari Pahang berkata, meskipun masih memiliki adik beradik, dia memilih berada di RSK dan dua tahun lagi anak tunggalnya akan menamatkan pengajian.

"Untuk masa sekarang, biarlah saya tinggal di rumah perlindungan ini kerana jaraknya tidak jauh dari tempat anak belajar dan sebaik dia tamat pengajian nanti, anak akan memulakan kerja dan kami akan menetap bersama, Insya-Allah," katanya.



Disiarkan pada: April 24, 2024 @ 1:48pm






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-12-2024 04:12 PM GMT+8 , Processed in 0.056458 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list