CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4024|Reply: 0

[Kedah] Tiada lagi pembelian pukal diesel nelayan elak ketirisan bahan subsidi

[Copy link]
Post time 13-5-2024 04:00 PM | Show all posts |Read mode
Tiada lagi pembelian pukal diesel nelayan elak ketirisan bahan subsidi


Oleh Zuliaty Zulkiffli - Mei 13, 2024 @ 3:53pm bhnews@bh.com.my




Faiz Fadzil menyampaikan sumbangan kepada nelayan pada Program Rahmah Mesra Madani bersama nelayan di PNK Kuala Kedah - Foto NSTP/WAN NABIL NASIR.





KUALA KEDAH: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pembelian diesel bersubsidi dalam kalangan nelayan bagi mengelak penyelewengan bahan subsidi itu.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, antara SOP itu adalah supaya tiada lagi pembelian secara pukal diesel oleh nelayan bagi mengekang penyeludupan.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan berikutan kes penyelewengan diesel yang membabitkan nelayan menggunakan minyak yang sepatutnya dibekalkan kepada nelayan di Kuala Muda, bulan lalu.

"Seminggu selepas kejadian itu, kita memanggil semua pegawai dan pengurus besar persatuan nelayan kawasan (PNK) yang terbabit dengan jualan minyak diesel ini dan mengadakan pertemuan bagi membaiki beberapa SOP atau tatacara yang kita ketatkan untuk pastikan tiada ketirisan seperti ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Rahmah Mesra Bersama Nelayan Kuala Kedah di Slipway Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah, Kampung Telok Layang di sini hari ini.

Media ini sebelum ini melaporkan dua lelaki ditahan polis ketika cuba memindahkan minyak diesel bersubsidi dari sebuah treler milik PNK Kuala Kedah ke dalam dua lori di sebuah premis di Bedong, Kuala Muda.

Hasil siasatan polis mendapati treler muatan diesel berkenaan dipercayai milik persatuan nelayan itu dan dipandu seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, jumlah pembelian diesel bersubsidi itu tertakluk kepada jenis bot yang dikendali nelayan terbabit.

Katanya, setiap bot ada kapasiti minyak kalau bot jenis C ia adalah 17,000 liter.

Kalau petrol sebenarnya tidak ada masalah kecuali berlaku ketirisan di peringkat stesen minyak.

"Tetapi diesel ini diuruskan oleh PNK di kawasan masing-masing membabitkan pusat pendaratan di kompleks atau swasta.

"Namun kita minta semua yang terbabit memantau secara terperinci nelayan terlibat di kawasan masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, pihaknya memandang serius insiden itu walaupun ia membabitkan kes terpencil.

"Sebab yang melakukan penyelewengan itu ialah pemandu treler berkenaan (individu) yang keluar daripada perjalanan asal sebelum sampai ke kompleks perikanan dia turunkan sedikit diesel di Kuala Muda.

"Untuk ketirisan seperti itu ia adalah kejadian membabitkan perlakuan individu dan kes terpencil.

"Bagaimanapun, LKIM memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan kehilangan wang negara yang boleh dimanfaatkan oleh kegunaan rakyat dan negara," katanya.

Muhammad Faiz berkata, subsidi minyak ini adalah barang kawalan yang seharusnya pihak yang mengurus itu lebih mengambil sikap berhati-hati dan komited.

Katanya, kos operasi nelayan adalah sebanyak 60 peratus bergantung kepada minyak jadi tidak boleh berlaku sebarang ketirisan.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-6-2024 01:39 AM GMT+8 , Processed in 0.123302 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list