View: 9317|Reply: 0
|
[Melaka]
Wanita serah barang kemas RM20,000 ‘dipukau’ warga Indonesia
[Copy link]
|
|
GAMBAR HIASAN
ALOR GAJAH – Seorang suri rumah mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila menyerahkan seutas gelang, rantai dan loket emas miliknya selepas ‘dipukau’ tiga individu warga Indonesia di sebuah pasar raya di Masjid Tanah, di sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku Sabtu lalu ketika mangsa berusia 58 tahun sedang membeli barangan dapur seorang diri.
Ujarnya, mangsa kemudian dihampiri tiga individu warga Indonesia termasuk seorang wanita yang meminta tolong kononnya ingin menebus hadiah loteri bernilai RM500,000 dimenangi mereka, namun memerlukan kad pengenalan.
“Suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an hingga 50-an ‘memukau’ mangsa dengan janji-janji manis akan memberikannya RM50,000 sebagai balasan membantu.
“Mangsa kemudian telah mengikuti suspek menaiki sebuah kereta untuk ke kedai loteri sebelum diminta menyerahkan barang kemas dipakainya sebagai cagaran tidak melarikan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, setiba di premis loteri, suspek bagaimanapun telah meninggalkan mangsa dan melarikan diri bersama barang kemas yang diberikan.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Sungai Baru pada pukul 2 petang. Pihak polis sedang menyiasat kes ini bagi membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sejak tahun lalu sehingga kini, kita menerima 18 laporan didakwa dipukau, namun hanya empat kertas siasatan dibuka. Kebanyakan kes bukanlah disebabkan mangsa dipukau tetapi terpedaya dengan pujuk rayu suspek,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/05 ... au-warga-indonesia/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|