JERANTUT - Seorang pesara maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara di Kilometer (KM) 4 Jalan Jerantut - Temerloh di hadapan stesen minyak Caltex di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, mangsa, Othman Salleh, 77, beralamat di Sungai Jan di sini meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, hasil siasatan yang dijalankan, kejadian berlaku semasa pemandu Perodua Kembara berusia 75 tahun dalam perjalanan dari arah Jerantut ke Temerloh.
Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal telah keluar dari simpang stesen minyak tersebut untuk menuju ke jalan utama ke Temerloh.
"Ia menyebabkan pemandu Perodua Kembara tidak sempat membrek dan mengelak lalu telah melanggar penunggang motosikal terbabit," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, akibat kemalangan tersebut, mangsa telah mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Jerantut untuk rawatan lanjut.
"Namun pada jam 3.30 petang, pihak hospital memaklumkan mangsa telah meninggal dunia.
"Pemandu Perodua Kembara tidak mengalami kecederaan," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.