|
ZULKIFLI menyampaikan plak penghargaan kepada Prof Datuk Dr Yasmin di Cheras, hari ini. FOTO Aizuddin Saad. AIZUDDIN SAAD
Kuala Lumpur: Kamus Braille Inggeris-Melayu yang pertama dihasilkan di negara ini dan dunia dijangka dapat memanfaatkan kepada 50,000 orang kurang upaya (OKU) penglihatan berdaftar di Malaysia.
Ketua Projeknya, Dr Mohd Norazmi Nordin berkata, selain itu, kamus yang disasarkan siap pada Disember tahun ini diharap dapat digunakan oleh 10,000 pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) terdiri daripada OKU penglihatan.
"Di sekolah, kira-kira 6,000 hingga ke 8,000 pelajar mempunyai masalah penglihatan dan sebahagian besar mereka adalah buta.
"Jika dihitung sekolah dan universiti, ia akan mencecah sehingga 10,000 orang yang bakal menerima manfaat daripada penghasilan kamus ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bengkel Kamus Braille Inggeris-Melayu Pertama di Malaysia dan Dunia di sini, hari ini.
Bengkel ini dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Kolaborasi), City University Malaysia, Prof Datuk Dr Yasmin Hussain.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Orang Buta Malaysia, Silatul Rahim Dahman, Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan serta Ketua Panel dan Penolong Pengarah Unit Khas Ketidakupayaan Penglihatan, Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Muhammad Aizuddin Abd Ghani.
Mengulas lanjut, Mohd Norazmi yang juga Pensyarah Pendidikan Khas, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, penghasilan kamus ini mengambil masa enam bulan sehingga setahun dan ia dijangka akan diedarkan pada awal tahun hadapan.
Katanya, bagi versi pertama ini, sebanyak 20 jilid yang terdiri daripada 10,000 hingga 15,000 perkataan membabitkan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu diterjemahkan kepada tulisan Braille.
Beliau berkata, antara perkataan diterjemahkan kepada tulisan Braille ini adalah yang jarang digunakan.
Menurutnya, selepas kamus ini siap, keutamaan pihaknya adalah untuk mengedarkannya kepada sekolah, badan bukan kerajaan (NG0) dan perpustakaan di negara ini secara percuma.
"Insya-Allah kita akan mengulang cetak sebanyak 1,000 salinan dan daripada jumlah itu, kita akan edar secara percuma di sekolah, NGO dan perpustakaan. Setakat ini, untuk tujuan penjualan dan komersial tidak ada," katanya.
Dalam pada itu, Silatul Rahim pula berkata, terdapat banyak permintaan daripada pelajar OKU penglihatan dan guru pendidikan khas yang memerlukan kamus Braille ini sebagai bahan rujukan dan alat bantu mengajar di sekolah atau universiti.
"Walaupun perkembangan kini menjurus kepada penggunaan teknologi, tetapi Braille harus dimartabatkan, dikekalkan dan diajar kepada para pelajar kerana Braille telah terbukti membawa banyak kejayaan kepada 253 juta orang buta dalam dunia sehingga kini.
"Jika kita memperkenalkan dan memperbanyakkan lagi bahan bacaan dalam Braille seperti kamus ini, maka ia boleh digunakan, dibaca di semua tempat dalam semua keadaan.
"Sebagai contoh pelajar OKU penglihatan boleh membaca Braille bukan setakat dalam kelas, malahan dalam asrama, di rumah, dalam kenderaan serta dalam keadaan lampu tidak dipasang kerana mereka tidak menggunakan mata untuk membaca. Jadi sambil baring di atas katil waktu malam pun mereka boleh baca Braille itu di atas badan mereka," katanya.
Beliau juga akan memastikan tulisan Braille ini tidak akan pupus dalam pasaran negara ini.
Sementara itu, Zulkifli memaklumkan, bagi projek penghasilan kamus Braille ini, pihaknya telah menyalurkan dana sebanyak RM130,000 yang bertujuan bagi membantu golongan OKU penglihatan di negara ini.
Beliau turut menyifatkan penghasilan kamus Braille ini sebagai projek berimpak tinggi kerana ia tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak.
"Ia akan memberi manfaat kebaikan yang amat besar kepada OKU penglihatan di mana apabila adanya kamus ini, mereka boleh meningkatkan taraf pendidikan mereka.
"Ini terutama pada zaman moden ini di mana Bahasa Inggeris sangat penting dan paling banyak digunakan dalam dunia," katanya
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... anfaatkan-50000-oku |
|