View: 10757|Reply: 0
|
Kim Swee tak mahu prestasi 'yo-yo'
[Copy link]
|
|
Penyerang Sabah FC Saddil Ramdani (kanan) cuba melepasi dua pemain Kuching City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam tadi. - Bernama
KOTA KINABALU: Kutipan tiga mata pertama di laman sendiri selepas menewaskan Kuching City FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi menyuntik semangat pemain Sabah FC untuk terus kekal konsisten.
Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata kemenangan itu penting sebelum Liga Super berehat seketika sempena perlawanan pusingan kedua Kelayakan Asia/Piala Dunia FIFA awal bulan depan.
Katanya, selepas itu, beliau berharap Sang Badak akan tampil dengan lebih baik dan konsisten, terutama untuk berdepan Pusingan 16 Piala FA pada pertengahan bulan depan, sebelum kembali ke aksi Liga Super.
"Penting untuk kita mendapatkan tiga mata penuh dan ini sudah tentu menyuntik semangat pemain sebelum kita berehat dengan kalendar FIFA.
"Selepas ini kita akan kembali dengan Piala FA dan saya harap kita akan bertambah baik dari sekarang dan lebih konsisten lagi selepas ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Dalam aksi malam tadi, Sabah bangkit menewaskan Kuching City selepas ketinggalan 0-1 hasil jaringan pendahuluan penyerang lawan, Pedro Henrique pada minit ke-63.
Sabah bagaimanapun dapat menyamakan kedudukan 1-1 hasil sepakan penalti Darren Lok pada minit ke-75, disusuli gol kemenangan 2-1 hasil jaringan Muhamad Jafri Chew pada minit ke-84.
Hasil tiga mata malam tadi, Sabah kini menempatkan diri di tangga ketiga carta Liga Super dengan mengumpul tujuh mata di belakang Terengganu FC di tangga kedua dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di tangga teratas liga.
Sementara itu, Kim Swee berkata pasukannya akan ke Jakarta, Indonesia untuk menyertai Kejohanan Antarabangsa RCTI Premium Sports, Indonesia yang dijadualkan dari 30 Mei hingga 2 Jun ini.
Kejohanan yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS) itu turut disertai Selangor FC, selain dua pasukan dari Indonesia, Persija Jakarta dan PSIS Semarang.
Juara kejohanan itu bakal menerima hadiah wang tunai AS$30,000 (RM142,000) selain piala dan pingat, manakala naib juara akan membawa pulang AS$15,000 (RM71,000).
https://www.bharian.com.my/sukan ... mahu-prestasi-yo-yo |
|
|
|
|
|
|
| |
|