|
JIMAT belanja bulanan lebih utama
Ampang Jaya: Ketika orang lain berusaha keras membeli dan menyewa rumah, lain pula kisahnya dengan Mushamir Mustafa yang 'berumah' di dalam kereta Proton Iriz miliknya sejak Januari lalu.
Apa dilakukan Mushamir, 32, itu bukan kerana dia dibuang keluarga, tiada tempat tinggal atau lari daripada hutang, tetapi untuk mengurangkan perbelanjaan bulanan dalam keadaan ekonomi masa kini yang mencabar.
Percubaannya berhasil apabila Mushamir yang kini bekerja sebagai pengurus pemasaran dan komunikasi sebuah syarikat dapat menjimatkan perbelanjaan wang sehingga RM2,000 yang sebelum ini digunakan untuk mengisi petrol, tol, bayaran parkir, bil utiliti dan komitmen lain.
Berkongsi kisahnya, Mushamir yang dilahirkan di Bangladesh dan pernah membesar di Brazil, Kosovo, Namibia dan Sudan berkata, dia tertarik dengan konsep tinggal di dalam kereta selepas menonton satu video tutorial berkaitan di YouTube.
"Jadi, saya pun terpanggil untuk mencuba, asalnya saya nak buat eksperimen sosial saja dan lihat bagaimana ia boleh jimatkan duit tapi lama-kelamaan jadi seronok dengan pengalaman itu.
"Cuma hari pertama tidur dalam kereta sakit belakang dan dua minggu juga saya ambil masa untuk sesuaikan diri.
"Selepas itu mula okay dan simpan duit beli peralatan sedikit demi sedikit termasuk pasang langsir untuk keselesaan serta privasi dalam kereta.
"Kini, ruang dalam kereta lengkap dengan kemudahan seperti tilam, bantal, beg baju, dua kipas mini, kipas ekzos, mudah alih dan lampu.
"Selesa hingga boleh baring sambil menonton filem, baca buku, mendengar lagu serta bermain permainan video di dalamnya," katanya ketika ditemui Harian Metro di Taman Tasik Tambahan di sini.
Menurut Mushamir, pada awalnya hanya rakan terdekat saja tahu dia tinggal di dalam kereta.
"Saya tak cerita secara terbuka kerana malu memandangkan pernah pandang rendah mereka yang tinggal dalam kereta sebelum ini.
"Apabila rasa sendiri pengalaman itu, persepsi saya berubah dan mula sedar keseronokannya sampai nak jadi pempengaruh dalam 'dunia' tinggal dalam kereta," katanya.
Menceritakan rutin hariannya, Mushamir berkata, lazimnya dia tidur dalam kereta diparkir di sekitar pejabatnya di Damansara Perdana, Petaling Jaya pada hari bekerja.
Namun Mushamir akan pulang ke rumah keluarga di sini hujung minggu bagi menemani ibunya yang tinggal seorang diri.
"Rutin hari bekerja saya berjoging selepas bangun tidur, mandi di tandas awam berhampiran, pusat gimnasium atau stesen minyak dan masuk ke pejabat untuk bekerja.
MUSHAMIR selesa tinggal dalam kereta ketika ditemui di Taman Tasik Tambahan, Ampang. FOTO AMIRUDIN SAHIB
"Selesai kerja, saya pergi makan malam, mandi dan siapkan tempat tidur untuk bermalam.
"Begitulah rutin saya sekarang dan okay saja cuma bila segelintir rakan dapat tahu saya tinggal dalam kereta, ada yang ingat saya ada masalah kewangan, hakikatnya saya pilih jalan begini kerana selesa.
"Paling seronok tak perlu fikir nak bayar bil utiliti jadi memang jimat banyak di situ," katanya.
Ditanya sampai bila akan 'berumah' dalam kereta, Mushamir mengakui belum terfikir namun bercadang membeli kereta lebih selesa jika ada rezeki.
"Tak fikir lagi nak ubah gaya hidup menyewa atau beli rumah tetapi akan ke arah itu sebelum berumah tangga nanti kerana saya pun nak ada keluarga.
"Cuma, kehidupan sekarang (tinggal dalam kereta) buat saya lebih hargai apa saya ada walaupun kecil dan memahami kehidupan golongan kurang bernasib baik yang lebih teruk keadaannya kerana tidur di kaki lima," katanya yang aktif di TikTok dan Instagram menerusi akaun @guylivingincar.
https://www.hmetro.com.my/utama/2024/05/1094933/irizku-syurgaku |
|