View: 6793|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Sewa kondominium untuk bungkus jus dadah, MDMA bernilai RM33.6 juta dirampas
[Copy link]
|
|
KHAW bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa (empat kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Hazreen Mohamad
Kuala Lumpur: Polis merampas 213.4 kilogram (kg) serbuk dadah jenis MDMA bernilai RM33.64 juta dan menahan dua 'runner' dalam serbuan di sebuah kondominium sekitar Sentul, di sini, kelmarin.
Serbuk dadah itu dijual dalam bentuk uncang minuman berwarna hijau dengan harga antara RM300 ke RM600 yang kebiasaannya dibancuh menjadi jus untuk diminum beramai-ramai sebelum berpesta.
Pengarah Jabatan Saifuddin Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan mendapati sindiket memproses dadah itu menyewa premis berkenaan dengan sewa RM2,000 sebulan.
Katanya, ia dijadikan pusat membungkus serta menyimpan dadah 'pesta' berkenaan sebelum diedar ke pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.
"Dua lelaki tempatan berusia awal 30-an yang ditahan disyaki dipercayai berperanan sebagai 'runner' dan pembungkus dadah sindiket berkenaan.
"Suspek dipercayai menerima upah kira-kira RM3,000 sebulan untuk melakukan kegiatan itu.
"Modus operandi yang digunakan adalah menyewa kondominium untuk dijadikan tempat memproses dan membungkus dadah jenis jus MDMA," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurutnya, polis merampas 499 uncang plastik dengan logo adiwira, Hulk mengandungi serbuk dadah MDMA dan 13 balang plastik lutsinar mengandungi serbuk ungu disyaki MDMA.
Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dari mana sumber dadah berkenaan dibawa masuk dan rangkaian sindiket berkenaan.
Ditanya mengenai kemungkinan dadah terbabit masuk dari kawasan segitiga emas (Thailand-Vietnam-Laos) beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana siasatan masih dijalankan.
"Siasatan lanjut masih berjalan, kita tidak boleh dedahkan secara terperinci maklumat berkenaan siasatan.
"Jika ada tangkapan ahli sindiket yang lebih tinggi kita akan maklumkan nanti.
"Setakat ini, kedua-dua suspek ini masing-masing mempunyai 10 rekod lampau dan direman tujuh sehingga 2 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rm336-juta-dirampas |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|