View: 3712|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Bantu Nana berjalan semula
[Copy link]
|
|
NUR Izz Adrinana yang mengalami masalah congenital right tibia pseudarthrosis with deforminty right tibis perlu sumbangan menjalani pembedahan di Gleneagles Hospital. FOTO Amirudin Sahib
Kuala Lumpur: Di kala kanak-kanak seusianya seronok berjalan dan berlari, Nur Izz Adriana Abdul Aziz pula hanya mampu merangkak dan mengengsot kerana hilang keupayaan berjalan akibat 'Congenital Right Tibia Pseudarthrosis with deformity right Tibia' atau kecacatan tulang tibia kaki kanan bengkok.
Berikutan itu, Nur Izz Adriana, 4, atau nama manjanya Nana perlu menjalani pembedahan segera meluruskan tulang yang bengkok di Gleneagles Hospital, di sini namun keluarganya tidak mampu kerana kosnya mencecah RM50,000.
Ibunya, Zalini Abdul Rahman, 32, dari Kota Tinggi, Johor berkata, Nana adalah anak sulung daripada dua beradik dan dilahirkan normal namun tidak dapat berjalan sejak lebih dua tahun lalu selepas terjatuh.
Zalini yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam berkata, berita duka itu disahkan oleh doktor di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, Johor selepas melakukan pemeriksaan lanjut.
"Sedih juga kerana Nana lahir normal tapi sekarang hanya mampu tengok saja orang lain berjalan.
"Nana tak pernah tanya mengapa kakinya begitu kerana dia pun belum boleh bercakap jadi setakat pegang saja kakinya.
"Selepas Nana terjatuh, saya dan suami (Mohamad Farid Lamsah, 30) membawanya ke klinik sebelum dirujuk ke hospital…m emang jumpa doktor saja dan tak pernah bawa berubat secara tradisional.
"Dalam tiga ke empat kali juga kaki Nana disimen namun tak sembuh pun sampai sekarang dan sebab itu doktor syorkan pembedahan untuk luruskan tulang yang bengkok," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Meskipun tidak dapat berjalan, Zalini mengakui Nana mudah dijaga malah tiada pantang larang dalam makanan.
Katanya, Nana juga aktif bermain di rumah dengan adik perempuannya berusia lapan bulan yang turut mempunyai masalah usus.
"Cuma jika nak nak ke tandas dan mandi, saya yang kena uruskan kerana Nana tak boleh berdikari.
"Mujur ada emak mentua (Maiani Abdul Manap, 54) bantu malah dia yang tolong saya dan suami jaga Nana sejak lahir sampai sekarang.
"Tapi saya tak bekerja, suami pula hanya kerja pembancuh air di kedai dengan gaji tak sampai RM800 jadi mana nak cari duit RM50,000 untuk pembedahan Nana?
"Disebabkan itu, saya mohon kepada mereka yang sudi untuk menyumbang kerana nak tengok dia berjalan semula dan pergi ke sekolah," katanya.
Sementara itu, Pakar Pembedahan Tulang Kanak-Kanak Gleneagles Hospital, Dr Abd Razak Muhamad berkata, Nana perlu menjalani pembedahan bagi meluruskan tulang yang bengkok dengan pemasangan besi.
Katanya, pembedahan itu mengambil masa empat jam dan Nana dijangka berada di hospital selama lima ke tujuh hari selepas prosedur berkenaan.
"Kalau tak dibetulkan, Nana masih boleh berjalan tapi tulangnya sentiasa pendek dan bengkok.
"Jadi, rawatan (pembedahan) itu bertujuan meluruskan tulang supaya bercantum dan membuang bahagian (tulang) yang tak normal dan mampatkan dengan letak besi di dalamnya.
"Tempoh pemulihannya agak lama, kira-kira tiga ke enam bulan sebelum boleh berjalan normal dan Nana perlu menjalani sekali lagi pembedahan pemanjangan tulang ketika usianya mencecah belasan tahun nanti," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dalam bentuk cek, dengan menulis nama Nur Izz Adriana Abdul Aziz di belakang cek.
Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat 4, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 14010008842718 atau Maybank 514105323170 dan nyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ana-berjalan-semula |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|