|
SALAH seorang mangsa, Siti Alia Aisha Mohd Afandi menunjukkan lokasi kejadian di Hutan Lipur Lata Changkah, Setiu-FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Setiu: Enam mangsa terselamat selepas terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Changkah, Hulu Seladang, di sini, petang semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa berkata, enam mangsa terbabit diselamatkan pasukan penyelamat dan orang ramai di lokasi.
Menurutnya, mereka terdiri daripada tiga sekeluarga berusia tujuh hingga 30 tahun, manakala tiga sekawan berusia 20 hingga 22 tahun.
"Mereka berjaya diselamatkan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, mangsa Siti Alia Aisha Mohd Afandi, 30, berkata kejadian cemas terbabit berlaku kira-kira 4.30 petang.
Katanya, dia bersama ahli keluarga dari Kota Baru, Kelantan datang berkelah di Lata Changkah itu.
"Sebelum kejadian kepala air, saya bersama dua anak lelaki berusia dua dan tujuh tahun serta adik perempuan berada di seberang sungai.
"Ketika kami berada dalam air, tiba-tiba saya dengar anak saudara yang berada di darat menjerit memanggil kami naik," katanya.
Katanya, dia sempat melihat ramai orang ramai yang turut mand-manda beransur naik ke darat.
"Ketika ingin menyeberangi sungai, saya lihat banyak sampah mula dihanyutkan dan kejadian kepala air itu berlaku sekelip mata.
"Anak kedua saya berjaya diselamatkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang kebetulan turut berada di lokasi kejadian," katanya.
Katanya, dia dan seorang lagi anak lelakinya berusia tujuh tahun serta adiknya dihanyutkan arus sejauh lima meter sebelum diselamatkan orang ramai.
"Alhamdulillah, kami selamat walaupun saya hampir lemas manakala anak sulung serta adik saya sempat berpaut pada pelampung sebelum diselamatkan orang ramai," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ap-dalam-kepala-air |
|