|
Tukang jahit warga emas, Mat Hussin Mohamad, 73, melihat rumahnya yang hangus dalam kebakaran di Kampung Jelawat, Bachok semalam. - Foto NSTP/Nor Amalina Alias
BACHOK: Seorang tukang jahit warga emas kerugian lebih RM100,000 apabila rumahnya hangus dalam kebakaran di Kampung Jelawat, awal pagi semalam.
Akibat kejadian jam 5.20 pagi, Mat Hussin Mohamad, 73, dan isteri, Zainab Abdul Rahman, 64, kini tinggal sehelai sepinggang.
Mat Hussin yang menjahit pakaian baju Melayu dan baju batik berkata, turut hangus 15 helai kain milik pelanggannya yang sepatutnya dipakai untuk Aidiladha, dua minggu lagi.
"Ketika kejadian, kami tidur sebelum terkejut dengar bunyi letupan dari arah belakang rumah.
"Bila periksa, letupan di sebuah motosikal saya, api pula sudah marak dan kami hanya fikir untuk selamatkan diri," katanya ditemui di rumahnya di Kampung Jelawat di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat, hari ini.
Mat Hussin berkata, selain kediaman musnah, dia turut kerugian dua buah motosikal dan lima buah mesin jahit yang menjadi punca rezeki sejak usia 19 tahun.
Katanya, dia bernasib baik kerana semua pelanggan memahami keadaannya dan mereka sudah mengetahui kebakaran menimpanya.
"Mujur pelanggan faham dan tak marah, kebanyakan pula adalah pelanggan tetap saya," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 5.22 pagi.
"Kebakaran dapat dikawal jam 5.39 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... gus-dalam-kebakaran |
|