View: 2096|Reply: 0
|
[Kelantan]
Beruang matahari musnah sarang kelulut, penternak rugi RM40,000
[Copy link]
|
|
Mohd Fadhil (kiri) menunjukkan lot kelulut yang dimusnahkan beruang matahari di Kampung Air Asahan Hulu. -Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
TANAH MERAH: Seramai 10 peserta Projek Ternakan Kelulut Berkelompok Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Kampung Air Asahan Hulu dan Kampung Asahan Tengah kerugian kira-kira RM40,000 selepas sarang kelulut mereka dimusnahkan beruang matahari yang berlaku sejak bulan lalu.
Seorang peserta projek berkenaan, Mohd Fadhil Ibrahim, 35, bermula awal Mei lalu sebanyak 36 daripada 140 lot kelulut yang diusahakan secara berkelompok dimusnahkan beruang matahari yang memasuki kawasan kebun mereka.
Katanya, kemungkinan habitat haiwan itu terganggu dan sukar mendapatkan makanan mendorongnya keluar mencari makanan selain musim panas dan kering menyebabkan bau madu sangat kuat dan mudah dihidu beruang.
"Hampir kesemua lot kelulut yang dirosakkan beruang matahari ini sudah boleh dituai hasilnya untuk dijual di pasaran, namun kejadian di luar jangka menyebabkan kami kerugian sebanyak RM28,000.
"Ini pertama kali, haiwan ini merosakkan tanaman yang diusahakan penduduk sejak dua tahun lalu walaupun sebelum ini dilaporkan dua ekor beruang matahari betina dan jantan sudah ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan dalam tempoh kurang seminggu,
"Kami masih tetap berjaga-jaga kerana dipercayai masih ada seekor lagi beruang dipercayai anaknya berkeliaran di kawasan kampung.
"Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada PERHILITAN kerana bertindak pantas dengan memasang perangkap selepas aduan dibuat dan dengan tangkapan dua ekor beruang ini sekurang-kurangnya dapat memberi kelegaan kepada penduduk yang berada dalam kebimbangan selain mengelakkan KAMI menanggung kerugian berterusan," katanya ketika ditemui di Kampung Air Asahan Hulu di sini.
Seorang penduduk kampung, Abd Fatah Mat Yusoff, 54, berkata, sebelum ini, dia pernah terserempak dengan haiwan itu ketika dalam perjalanan untuk ke kebun bagi memberi makan kepada lembu peliharaannya.
"Namun, beruang matahari ini tidak bertindak agresif dan hanya memandang saya daripada jauh, dan ini menimbulkan perasaan bimbang. Beruang itu mungkin lapar dan datang ke kawasan perkampungan kami untuk mencari makanan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Nora'ini Yusoff, 65, berkata, dia berasa sedikit lega apabila PERHILITAN berjaya menangkap dua ekor beruang tetapi kini kembali bimbangan apabila melihar perangkap yang dipasang jabatan itu di belakang rumahnya.
"Sebelum ini, saya beberapa kali pernah terdengar bunyi bising di halaman rumah bermula jam 12 tengah malam ke atas dan bunyi yang didengar itu adalah beruang yang sedang memusnahkan sarang kelulut untuk mengambil madu.
"Beruang matahari ini bukan saja menceroboh kebun penduduk, malah pada masa sama turut memberi ancaman kepada penduduk terutamanya anak-anak kecil yang bermain di luar kawasan rumah," katanya.
Ahad lalu dilaporkan, PERHILITAN Kelantan berjaya menangkap seekor lagi beruang matahari jantan sekali gus melegakan penduduk di Kampung Air Asahan Hulu.
Sebelum itu, pada 28 Mei lalu jabatan yang sama erjaya menangkap seekor beruang matahari betina di kawasan yang sama.
https://www.bharian.com.my/berit ... ternak-rugi-rm40000 |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|