View: 3921|Reply: 0
|
[Kelantan]
Tergoda bau manis madu
[Copy link]
|
|
MOHD Fadhil (kiri) menunjukkan lot kelulut yang dimusnahkan beruang matahari di Kampung Air Asahan Hulu. - Gambar NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Tanah Merah: Seramai 10 peserta Projek Ternakan Kelulut Berkelompok di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang di Kampung Air Asahan Hulu dan Kampung Asahan Tengah di sini kerugian kira-kira RM40,000 selepas sarang kelulut mereka dimusnahkan beruang matahari sejak sebulan lalu.
Seorang peserta projek berkenaan, Mohd Fadhil Ibrahim, 35, berkata, bermula awal Mei lalu sebanyak 36 daripada 140 lot kelulut yang diusahakan secara berkelompok dimusnahkan beruang matahari yang memasuki kawasan kebun mereka.
Menurutnya, kemungkinan habitat haiwan itu terganggu dan kesukaran mendapatkan makanan mendorong ia untuk keluar mencari makanan selain musim kering juga menyebabkan bau madu sangat kuat dan mudah dihidu beruang yang memiliki deria bau sensitif.
"Hampir semua lot kelulut yang dirosakkan beruang matahari ini sudah boleh dituai hasilnya dan dijual di pasaran, namun kejadian di luar jangka menyebabkan kami kerugian RM28,000.
"Ini adalah pertama kali haiwan ini merosakkan tanaman yang diusahakan penduduk sejak dua tahun lalu dan walaupun dua beruang matahari betina dan jantan sudah ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dalam tempoh kurang seminggu namun kami tetap berjaga-jaga kerana masih terdapat seekor lagi beruang dipercayai anaknya berkeliaran di kawasan kampung.
"Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Perhilitan kerana bertindak pantas dengan memasang perangkap selepas aduan dibuat dan dengan tangkapan dua beruang ini sekurang-kurangnya dapat memberi kelegaan kepada penduduk yang berada dalam kebimbangan selain mengelakkan menanggung kerugian berterusan," katanya di Kampung Air Asahan Hulu.
Bagi penduduk kampung, Abd Fatah Mat Yusoff, 54, berkata, sebelum ini dia pernah terserempak dengan haiwan itu ketika dalam perjalanan untuk ke kebun bagi memberi makan kepada lembu peliharaannya.
"Walaupun pada ketika itu beruang matahari ini tidak bertindak agresif dan hanya memandang saya daripada jauh, namun perasaan bimbang tetap ada.
"Beruang ini mungkin lapar dan datang ke kawasan perkampungan kami untuk mencari makanan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Nora'ini Yusoff, 65, berkata, dia sedikit lega dan kebimbangannya sebelum ini berakhir selepas melihat sendiri beruang itu masuk ke perangkap yang dipasang Perhilitan di belakang rumahnya.
"Sebelum ini, saya beberapa kali pernah terdengar bunyi bising di halaman rumah bermula jam 12 tengah malam ke atas dan bunyi yang didengar itu adalah beruang yang sedang memusnahkan sarang kelulut untuk mengambil madu.
"Beruang matahari ini bukan sahaja menceroboh kebun penduduk, malah pada masa sama turut memberi ancaman kepada penduduk terutamanya anak-anak kecil yang bermain di luar kawasan rumah," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... goda-bau-manis-madu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|