SIMON
KOTA KINABALU: Kerajaan hari ini wajar menjelaskan sejarah sebenar mengenai pembentukan Malaysia khususnya dalam mengiktiraf 16 September tahun ini sebagai Hari Kebangsaan ke-61 dan bukannya ulang tahun ke-67 kemerdekaan Malaysia.
Ketua Penerangan Parti Liberal Demokratik (LDP), Simon Chin berkata, buku teks sejarah menyatakan bahawa Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
“Inilah sebabnya ramai rakyat Malaysia, khususnya di Semenanjung termasuk agensi kerajaan dan swasta menyambut Hari Kebangsaan ke-67.
“Tetapi ini tidak betul, Persekutuan Malaysia sendiri tidak mendapat kemerdekaan, ia dibentuk oleh Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah (dahulunya dikenali sebagai Borneo Utara) dan Singapura, yang kemudiannya berpisah daripada Malaysia," katanya.
Simon menegaskan bahawa Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Sarawak pada 22 Julai 1963, diikuti Sabah, yang dahulunya dikenali sebagai Borneo Utara, pada 31 Ogos 1963.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan dan Pemilihan Bersama LDP Bahagian Tanjung Aru, Petagas, Kapayan, Moyog dan Pantai Manis baru-baru ini. Beliau berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah digubal pada 15 November 1961 semasa pembentukan Malaysia, yang kemudiannya ditandatangani pada 9 Julai 1963.
Katanya, perjanjian itu disahkan pada 31 Julai 1963 dan seterusnya berkuatkuasa pada 16 September 1963.
“Ini menunjukkan Persekutuan Malaysia telah ditubuhkan pada 16 September 1963.
“Dengan kata lain, Malaysia belum wujud pada 31 Ogos 1957, oleh itu agak mengelirukan untuk mengiktiraf 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan kita," katanya.
Berikutan fakta berkenaan, Simon menggesa kerajaan untuk memperbetulkan salah tanggapan berhubung tarikh sebenar Hari Kebangsaan.
“Kita sepatutnya menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-61 pada 16 September.
“31 Ogos sepatutnya disambut sebagai Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Sabah, manakala Hari Kemerdekaan Sarawak jatuh pada 22 Julai," katanya.
Simon juga menggesa kerajaan Persekutuan mengembalikan hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63.
Menurut MA63 katanya, Sabah sepatutnya menikmati autonomi yang lebih besar dan hak istimewa sebagai rakan kongsi yang sama rata, seterusnya membentuk Persekutuan Malaysia bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura.
"Singapura kemudiannya keluar daripada persekutuan itu," katanya.
|