Sikie pada sidang media mengenai Pesta Tatau 2024 baru-baru ini.
BINTULU: Pesta Tatau 2024 yang akan berlangsung pada 5 hingga 15 September depan dijangka mampu menarik kedatangan kira-kira 80,000 pengunjung berbanding hanya 50,000 pada penganjurannya tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkeyakinan yang jumlah pengunjung akan bertambah memandangkan ia berjaya menarik banyak penyertaan daripada warga tempatan.
"Contohnya ialah pertandingan bot laju yang mana setakat ini sebanyak 95 penyertaan sudah mendaftar," ujarnya.
Beliau berkata demikan pada sidang media Pesta Tatau 2024 di Pejabat Daerah Tatau baru-baru ini.
Malah apa yang menariknya katanya, ia turut disertai peserta dari luar negara iaitu Brunei Darussalam.
Sasaran pihak penganjur menurut John Sikei, penganjuran pesta sebegini akan membantu terutama peniaga serta usahawan makanan menambah pendapatan.
"Adalah disasarkan pesta ini nanti mampu menjana jumlah Return On Investment (ROI) sebanyak RM5 juta," jelasnya.
Beliau berkata, Lebuh Raya Pan-Borneo turut memudahkan urusan masyarakat luar untuk datang berkunjung ke pekan Tatau sepanjang pesta tersebut kelak.
Walaupun Tatau tidak mempunyai fasiliti serta kemudahan termasuk hotel dan inap desa mencukupi ujarnya, tetapi ia tidak menjadi masalah besar kerana pengunjung boleh menginap di bandar Bintulu kerana jarak perjalanan agak singkat dengan adanya jaringan jalan raya yang bagus.
|