Jasad mangsa yang dipercayai lemas ketika menyeberangi sungai selepas selepas mandi di Lubok Subong berjaya ditemui semasa hari ketiga SAR. - Gambar JBPM Sarawak
KUCHING: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas cuba menyeberangi sungai setelah selesai mandi di sungai Lubok Subong, Lubok Antu pada Jumaat dijumpai lemas pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memberitahu, mangsa berusia 20 tahun itu dijumpai sekitar jam 8.30 pagi.
"Operasi SAR hari ketiga (hari ini) menggunakan kaedah water 'surface searching' ke hilir sungai dengan menggunakan tiga bot dan satu perahu panjang yang bermula 8 pagi.
"Pada jam 8.30 pagi, pasukan SAR menjumpai satu jasad pada jarak 500 meter ke hilir sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, jasad mangsa diangkat ke dalam bot dan dibawa oleh pasukan SAR ke pangkalan.
"Jasad terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan pihak polis meminta keluarga mangsa untuk membuat pengecaman serta mengesahkan jasad tersebut adalah mangsa lemas yang dicari," katanya.
Tambahnya, operasi SAR ditamatkan pada 9.30 pagi setelah jasad berjaya ditemukan.
Terdahulu, JBPM Sarawak menerima laporan bahawa seorang mangsa dilaporkan hilang selepas mandi di sungai terbabit bersama-sama dua lagi rakannya, pada Jumaat sekitar jam 1.59 petang.
Katanya, berikutan laporan tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergegas ke lokasi kejadian.
"Hasil maklumat yang didapati, mangsa bersama-sama dua lagi rakan mandi di sungai berkenaan.
"Setelah selesai mandi, tiga sekawan itu hendak menyeberangi sungai di Lubok Subong dan secara tiba-tiba, mangsa telah dibawa arus deras sebelum tenggelam di tengah-tengah sungai tersebut," katanya.
Maklumat yang diperolehi daripada rakan mangsa juga mendapati lelaki tersebut tidak pandai berenang.
Berikutan kejadian terbabit, bomba mengaktifkan SAR bagi mengesan mangsa.
Turut membantu di lokasi ialah pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia, pegawai bomba sukarela serta penduduk kampung.
|