Sarawak tuntut semua hak, kepentingan, kelayakan diperuntuk di bawah Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan IGC
Yap menyampaikan ceramah mengenai MA63 anjuran SUPP Kota Sentosa.
“MA63 dicapai dengan penggabungan tiga wilayah berbeza Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia dan tanpa salah satu daripada penandatangan MA63, Malaysia tidak mungkin dapat dicapai.”
Wilfred Yap
ADUN Kota Sentosa
Oleh Agnes Tugong
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap berharap Kerajaan Perpaduan persekutuan akan memenuhi tuntutan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya tuntutan semasa yang dibuat oleh Kerajaan Sarawak adalah semua hak, kepentingan dan kelayakan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“MA63 dicapai dengan penggabungan tiga wilayah berbeza Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak untuk membentuk Malaysia dan tanpa salah satu daripada penandatangan MA63, Malaysia tidak mungkin dapat dicapai.
“Justeru, saya berharap Kerajaan Perpaduan persekutuan akan dipandu oleh kedaulatan undang-undang dan berazam untuk merealisasikan aspirasi bapa pengasas kita seperti yang dipersetujui melalui MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ceramahnya mengenai MA63 anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kota Sentosa di sebuah restoran di sini hari ini yang dihadiri kira-kira 40 belia SUPP Kota Sentosa.
Terdahulu, Yap berkata cabaran tuntutan Sarawak ke atas MA63 bermula selepas kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2018 kepada Pakatan Harapan (PH).
Oleh kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak di bawah kerajaan PH pada masa itu, banyak projek negeri dibatalkan dan Kerajaan Sarawak perlu menggunakan dana sendiri untuk meneruskan projek.
“Itulah masanya kita mula memperjuangkan MA63 dan menuntut kembali hak-hak kita yang terhakis di bawah perjanjian itu.
“Dengan tambahan pendapatan daripada sumber-sumber yang merupakan hak Sarawak di bawah MA63, ia dapat digunakan untuk pembangunan negeri dan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Penasihat SUPP Kota Sentosa Datuk Alfred Yap berkata perjuangan untuk menuntut hak-hak di bawah MA63 tidak akan terhenti meskipun pemimpin bertukar ganti.
Katanya pemimpin bertukar ganti tetapi perjuangan parti (SUPP) dalam menuntut hak-hak di bawah MA63 tidak akan berubah dan terhenti dari mula, kini dan seterusnya.
|