Barangan elektrik untuk dibaiki yang diletakkan di luar sebuah rumah di Desa Senadin musnah dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
MIRI: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebuah rumah daripada terbakar dalam kejadian yang berlaku di Desa Senadin di sini malam tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong Henry Jugah, pihaknya telah menerima panggilan dari kawalan BBP Lopeng yang memaklumkan tentang kebakaran itu pada jam 7.44 malam.
Berikutan itu, sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera bomba telah bergerak ke lokasi yang terletak di Jalan Pulasan, Desa Senadin iaitu kira-kira lima kilometer jarak dari balai.
"Setiba di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati benar berlaku kebakaran namun hanya melibatkan barangan elektrik yang hendak dibaiki dan diletakkan di luar rumah.
"Setelah menilai keadaan, PKO terus bertindak menggunakan konsep 'Receo' membentangkan satu aliran 100 kaki satu nozel bagi memadam kebakaran tersebut," katanya sambil menambah kerja-kerja pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Lopeng.
Menurut Henry, punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.
Setelah selesai tugas pemadaman dan memastikan semua keadaan selamat, anggota operasi bertolah balik ke balai.
|