Fatimah (depan, tujuh kanan) bersama peserta persidangan Globecores 2024 di Auditorium Curtin University Malaysia di Miri hari ini.
MIRI: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Komuniti melalui Majlis Pembangunan Sosial (MPS) mengenal pasti 14 isu sosial kritikal dan perlu ditangani segera bagi mencapai kesejahteraan masyarakat mapan.
Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, MPS kini giat merapatkan jurang sosial melalui inisiatif memfokuskan kepada keterangkuman sosial dalam masyarakat di negeri ini ke arah kesejahteraan.
"Keterangkuman sosial sebenarnya adalah sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030, di mana ia merupakan satu daripada tujuh teras strategi ke arah pembangunan negeri.
"Pada masa sama bagi mencapai kesejahteraan masyarakat mapan, kementerian saya menangani 14 isu sosial kritikal melalui program dan projek disasarkan dan MPS akan mengambil kira inisiatif ini untuk dilaksanakan," katanya.
Fatimah berkata demikian ketika menyampaikan amanat semasa merasmikan Persidangan Penyelidikan dan Kelestarian Komuniti Curtin University Malaysia (Globecores 2024) di Auditorium Curtin University di sini hari ini.
Beliau mendedahkan antara 14 isu tersebut ialah jenayah kecil, kehamilan remaja, penyalahgunaan dadah dan penderaan, STI/HIV/AIDS, perkahwinan dan perceraian, jenayah siber, pembuli, keganasan rumah tangga, kehilangan tempat tinggal, dokumen pengenalan diri, jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak, kesihatan mental, kemiskinan dan penuaan.
Fatimah berkata, kementeriannya mengetengahkan tiga isu utama: gelandangan, dengan pusat transit disokong kerajaan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, masalah dadah ditangani oleh Jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) dan kehamilan remaja ditangani oleh Jawatankuasa Pusat Sehenti Kehamilan Remaja (OSCTPC) melalui usaha kolaboratif di seluruh agensi kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau memuji penganjuran persidangan tersebut selaras dengan misi bersama Kerajaan Sarawak bagi mencipta dunia lebih baik untuk semua khususnya wanita, kanak-kanak dan masyarakat.
“Persidangan bertemakan ‘Merapatkan Jurang, Membina Masa Depan: Strategi Integratif Untuk Pembangunan Mapan’ itu bukan sekadar acara, ia adalah bukti komitmen kita terhadap pembangunan mapan dan kerjasama global.
“Kehadiran lebih 1,000 peserta dari 36 negara secara fizikal dan maya memberi penekanan kepentingan tindakan kolektif dan kuasa perkongsian pengetahuan menangani isu paling mendesak di dunia merupakan kesan perubahan iklim, krisis kesihatan global dan sosioekonomi, jurang perbezaan,” jelasnya.
Beliau menambah pastinya cabaran itu membuka peluang besar untuk berinovasi dan menambah baik masyarakat.
“Globecores 2024 mempersembahkan satu platform unik di mana kita boleh berkumpul, memanfaatkan kebijaksanaan kolektif, berkongsi idea dan merangka strategi yang boleh diambil tindakan bagi memacu pembangunan mapan,” katanya.
Persidangan dua hari berlangsung pada 3 dan 4 September diteruskan hari kedua di Hotel Pullman, Miri Waterfront.
Hadir sama Pemangku Pro Naib Canselor dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia Profesor Dr Vincent Lee, pengerusi persidangan dan Dekan Fakulti Kemanusiaan dan Sains Kesihatan Profesor Dr Roy Rillera Marzo dan Ketua Pegawai Operasi Curtin Malaysia Sharon Chong.
|